Wednesday, February 29, 2012

Azizan, Lapan Exco Angkat Sumpah

Tahniah kepada Azizan Razak dan lapan orang anggota Exconya atas selamatnya upacara angkat sumpah untuk menyambung perkhidmatan sebagai MB dan pengerusi jawatankuasa kerja kerajaan negeri (Exco) masing-masing. Dengan selamatnya majlis hari ini maka berakhirlah spekulasi yang kurang enak didengar mengenai Pas Kedah sejak beberapa hari lalu.

Bagaimana pun dua orang Exco, Ir Pahkhorazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh tidak ikut sama mengangkat sumpah. Tanpa kehadiran mereka bukan bermakna spekulasi buruk yang sengaja dilontarkan oleh Umno untuk menjejaskan Pas itu benar.

Pahkhorazi dan Ismail ada alasan tersendiri kenapa mereka tidak ikut sama angkat sumpah hari ini. Mereka pasti akan menjelaskan kepada rakyat Kedah kenapa mereka tidak hadir pagi ini untuk angkat sumpah seperti rakannya yang lain bagi mengelakkan kekeliruan dan salah anggap rakyat serta menutup lubang musuh dari terus menganyang Pas Kedah.

Cuma sedikit pesanan dan pandangan dari jauh dari saya terhadap MB Kedah Azizan Razak. Beliau harus memulakan tugas untuk tahun ke empat ini dengan nawaitu yang baik dan azam yang lebih tinggi. Beliau perlu perbetulkan beberapa persepsi mengenai dirinya yang selalu dipertuturkan umum. Amalan kerja secara berpasukan dan membuat keputusan secara kolektif perlulah dipraktikan.

Insiden kecil yang berlaku sebelum ini sehinggakan sempat diulas umum hendaklah dihenti dan dijadikan iktibar. Seeloknya juga Azizan perlu membuang sikap cengeng dan perangai suka merendahkan orang lain secara terbuka. Sebagai MB beliau bukan saja perlu tegas, keras tetapi juga harus bijaksana dan pandai mengambil hati para Exco dan pimpinan Pas yang lain.

Molek juga kalau Azizan mengadakan kenduri kesyukuran menjamu rakyat Kedah dan pergunakan majlis itu untuk mengeratkan ukhwah Islamiyah sesama sendiri. Ini penting kerana pilihan raya umum yang akan tiba perlu dihadapi secara berjemaah.

Tidak terlupa tahniah dan syabas juga perlu diucapkan kepada Pas Pusat yang memainkan peranan penting memantau dan memerhati penuh tanggungjawab terhadap apa yang berlaku di Kedah. Dalam soal ini individu yang perlu merasa puas dengan penyelesaian kemelut Kedah itu ialah Naib Presiden Pas Salehhudin Ayub. Beliaulah khabarnya menjadi perantara penting mendekat, merapat dan menenangkan keadaan di Kedah.

Penyelesaian kemelut ini secara tidak langsung memberi kredit kepada Salehhuddin yang berjaya membuktikan bahawa beliau sudah mampu menjadi orang tua dalam Pas. Sepanjang kemelut di Kedah Presiden Abdul Hadi Awang tidak ada di dalam negeri juteru tugasnya diambil oleh para pembantunya.

Semoga Kedah dibawah Pakatan Rakyat terus aman dan makmur.

Putrajaya siar 3 surat Dr M kepada Israel

29 Februari 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Kerajaan hari ini menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata surat berkenaan ialah:

i) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel, bertarikh 21 Disember 1993;
ii) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Benyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, bertarikh 14 Mac 1997; dan
iii)    Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel, bertarikh 8 Jun 1999.
Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari telah menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel.
"Saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu dasar, Malaysia selama ini telah secara konsisten memberi sokongan sepenuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap konflik Palestin-Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
"Kandungan surat-surat tersebut jelas menunjukkan pendirian yang berprinsip dan ketegasan Malaysia terhadap tindakan haram dan kekejaman Israel yang telah menggugat pelaksanaan proses damai, dan gesaan beliau kepada Israel untuk memenuhi obligasinya dan melaksanakan semua perjanjian yang telah dimeterai di antara Palestin dan Israel," kata Anifah.
Beliau berkata ini termasuk Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh Allahyarham Yasser Arafat bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres dari Israel pada 13 September 1993 berhubung Principles and Mutual Recognition (Prinsip dan Pengiktirafan Bersama) antara Israel dan PLO.
Anifah berkata, sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir tidak pernah menyatakan sokongan beliau kepada Israel, mahupun terhadap keselamatan negara tersebut, dan surat-surat beliau, sama ada secara tersurat atau tersirat, tidak sesekali menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
"Kesediaan Malaysia untuk mengadakan hubungan dengan Israel adalah tertakluk kepada pelaksanaan sepenuhnya oleh Israel (terhadap) semua resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, termasuk permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin. Ini merupakan pendirian Malaysia selama ini," katanya.
Anifah berkata, surat-surat tersebut mencerminkan peranan dan usaha Mahathir dan Malaysia, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa dalam membantu mencari penyelesaian yang adil dan
berkekalan terhadap konflik tersebut dalam mengembalikan martabat rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas.

Bangkai ayam di pintu pagar pusat khidmat Anwar


29 Februari 2012
BUTTERWORTH - Bangkai seekor ayam ditemui digantung di pintu pagar pusat khidmat Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya di sini hari ini.

Petugas pusat khidmat itu, Fathilullail Jaafar Sidek berkata beliau menemui bangkai berkenaan pada 10 pagi ini ketika baru sampai di pejabat.  

"Bangkai ayam itu ada kesan darah dan sebelah kakinya dipotong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fathilullail berkata bangkai ayam itu dipercayai diletakkan di situ antara 3 pagi dan 10 pagi ini kerana beliau berada dalam pusat khidmat sehingga pukul 3 pagi tadi.

Beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah. - Bernama

Aisyah Penyanyi Masuk PAS !!!

TERKINI : Penyanyi, Wan Aishah Wan Arifin (Aishah) tidak segan silu berdiri atas pentas PAS yang turut berkongsi pengalamannya berhijrah ke arah hidup lebih baik... Artis yang baru & telah berhijrah diharap dapat contohi keberanian Aisyah & Bob Lokman serta beberapa lagi yang lain. Percayalah, rezeki Allah itu dimana-mana dan bukannya ditangan UMNO.. ::.kikiki.::

Azizan tidak tahu syarat Phahrolrazi

MOHD IDROS MOHD ALI & NURUL FATIHAH SULAINI
29 Februari 2012
azizan_mb kedah
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengakui tidak mengetahui syarat yang ditetapkan oleh Datuk Phahrolrazi Modh Zawawi untuk membolehkannya kembali menjawat jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Azizan berkata, perkara itu tidak pernah dibangkitkan Phahrolrazi atau dibincang dengannya sebelum ini.
"Saya tidak tahu menahu mengenai syarat yang dia tetapkan. Itu kena dialah sebab saya tidak mengetahui apa-apa mengenainya. Jadi, macam mana nak bincang kalau tak tahu apa-apa," katanya menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Menurutnya, ada syarat yang sah dan ada yang batal, dan "kalau syarat itu mengikut undang-undang, ia boleh diterima."
"Kalau syarat itu 'void', orang tak pakai," katanya.
Menjawab pertanyaan, Azizan berkata, beliau sedia berbincang dengan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa.
"Saya sedia bincang dengan sesiapa sahaja sama ada dengan Umno, MCA, Gerakan, wartawan atau sesiapa yang nak bincang.
"Tetapi saya tidak tahu apa syarat yang dia (Phahrolrazi) tetapkan," katanya.
Ditanya mengenai perbezaan pendapat yang besar seperti didakwa Phahrolrazi,  Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, tidak tahu apa perbezaan pendapat yang berlaku antara mereka berdua.
"Saya tidak tahu apa perbezaan pendapat yang besar. Saya rasa biasa sahaja berlaku perbezaan pendapat dalam mesyuarat. Itu perkara biasalah.
"Kalau kita pergi restoran, seorang nak makan mi rebus, seorang makan mi goreng dan seorang lagi mungkin nak makan mi kari. Mereka ini makan makanan yang berbeza tetapi masih boleh duduk semeja. Tiada apa-apa masalah," katanya.
Menurutnya, selepas timbul isu enggan menerima semula pelantikan sebagai Exco, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah tidak pernah menghubunginya untuk memaklumkan apa-apa.
"Bagaimanapun, kita selalu berbincang dalam mesyuarat," katanya.
Ditanya sama ada kemelut itu boleh diselesaikan, Azizan berkata "Insya-Allah, kita tengoklah."
Ditanya sama ada nama Pharolrazi dan Dr Ismail Salleh, yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Kedah, berada dalam senarai yang dipersembahkan kepada Sultan Kedah untuk mendapat perkenan, Azizan berkata: "Saya terlupa sebab banyak sangat nama yang ada dalam senarai itu."
Ditanya masih ada jalan penyelesaian kepada kemelut yang berlaku, Azizan berkata, ada banyak jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.
Mengenai perjumpaannya dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang dilantik oleh Pas Pusat sebagai orang perantaraan untuk menyelesaikan masalah, Menteri Besar berkata, pemimpin itu datang bertemunya di rumah.
"Kami bincang macam-macam. Saya tanya pasal anaknya dan persekolahan anak-anak. Banyak yang kami bincang. Dia mai rumah saya dan minum kopi, habislah.
"Sebagai naib presiden dan saya pula pesuruhjaya negeri, kami juga berbincang soal parti," katanya.
Ditanya masalah itu boleh diselesaikan segera, Azizan berkata: "saya harap begitulah."

Mahathir: Kit Siang patut jadi Presiden Pas

NORSHAHZURA MAT ZUKI
29 Februari 2012
MAHATHIR
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.
Sehubungan itu beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.
“Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.
“Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan rombongan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Beliau yang juga bekas Presiden Umno menegaskan, sekarang pemimpin bukan Islam belajar mengenai agama Islam antaranya boleh memberikan syarahan dengan menggunakan ayat al-Quran.
Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan Pas bersedia menerima seorang Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Dzulkefly berkata, dalam Islam terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah. Contoh perkara yang boleh berubah ialah perkara politik.
Ditanya mengenai kenyataan Dzulkefly, perpecahan Melayu memberikan hikmah, Mahathir menegaskan perpecahan baik untuk Pas.
“Saya sokong, Pas mesti berpecah. Sudah cukup Melayu berpecah, kita pecah semua parti.
“Pas patut berpecah lagi,” katanya.
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, perpecahan undi di kalangan Melayu dilihat sebagai satu kebaikan dan hikmah malah mampu menjadikan rakyat di negara ini matang dalam membuat pemilihan terbaik pada pilihan raya umum.
Menurutnya, sebelum ini, rata- rata pemimpin politik dan penganalisis mendakwa orang Melayu sudah berpecah kepada tiga kumpulan sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Mahathir Masuk Perangkap Sendiri Kes Hina Al Quran

Perkasa: 'Pas dan Umno perlu bersatu'

RUZY ADILA IDRIS
28 Februari 2012
wacana11
SHAH ALAM – Pemimpin Perkasa menegaskan bahawa kerjasama politik Pas dan Umno, yang menjadi topik perbincangan sejak pilihan raya umum 2008, sangat penting bagi menjamin kesepaduan dan masa depan orang Melayu.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu ketika ini memang berlaku, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk tidak bersatu.

“Mengapa Pas boleh bersatu dengan DAP yang jelas tidak memperjuangkan akidah yang sama dalam perjuangan parti tetapi Umno yang memperjuangkan akidah yang sama, Pas tidak mahu bersatu?

“Perbezaan yang wujud bukan untuk berpecah belah tetapi untuk meraikan perbezaan itu,” katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk "Mengapa Undi Melayu Pecah" petanng ini.
Ruslan menambah, rakyat Malaysia perlu mengakui sejarah negara terutamanya pada 1946 apabila seluruh rakyat tidak mengira kaum dan semua badan bukan kerajaan (NGO) bersatu menentang Malayan Union.
Katanya, kesepaduan ini telah menjadi satu visi untuk membentuk kesepaduan rakyat ketika ini.
Soal idea kerjasama perpaduan telah berulang kali diketengahkan oleh banyak pihak termasuk oleh Mufti Perak.
Pas menegaskan pihaknya akan meneruskan kerjasama dalam perikatan Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum 2008, bukannya bersaam Umno dengan merujuk kepada pengalaman 1970-an.
Umno, parti teras Barisan Nasional (BN), berulang kali berkata pihaknya berminat untuk mengadakan perbincangan dengan Pas bagi mengadakan kerjasama politik.

Badrolamin dakwa pembantunya disogok

Wartawan Sinar Harian
29 Februari 2012
Badrulamin_Bahron
SEREMBAN – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrolamin Bahron mendakwa pembantunya ditawarkan imbuhan lumayan oleh sekumpulan lelaki sebagai dorongan supaya menjadi saksi memburukkannya.

Menurut Badrolamin, pembantunya itu diugut supaya memberi kerjasama dan ditawarkan upah lumayan bagi membantu menjayakan satu rancangan pihak tersebut.

“Ketika saya berada di Kuantan, pembantu saya didatangi enam lelaki dengan nada memujuk dan mengugut meminta supaya memberikan kerjasama.

“Sekiranya dia (pembantu) sanggup berikan kerjasama dengan menceritakan kononnya saya begitu dan begini, dia akan diberikan imbuhan lumayan,” katanya semasa menyampaikan ceramah sulungnya di Ampangan, dekat sini, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Badrolamin berkata, pembantunya itu kuat semangat tidak melayan tawaran berkenaan sebelum memaklumkan kepadanya mengenai perkara itu.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, dia dan pembantunya bercadang membuat laporan polis dalam masa terdekat ini bagi membersihkan kembali namanya berikutan kejadian ditangkap khalwat lalu.

Sementara itu, Badrolamin juga berkata akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah akhbar tabloid berbahasa Melayu serta stesen televisyen tempatan kerana menyiarkan laporan khalwatnya.

Malah, beliau turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz kerana mengeluarkan kenyataan dalam kedua-dua media itu.

“Selepas keterangan saya dan wanita terbabit diambil, Jaip mendapati dakwaan saya berdua-duaan adalah tidak benar dan pihak jabatan agama juga menerima sendiri kenyataan itu.

“Dengan itu, kenyataan Mohd Ghazali bahawa saya ditangkap berdua-duaan adalah terbatal, begitu juga laporan media berkenaan bahawa kami ditangkap berkhalwat adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, kami akan me ngambil tindakan undang-undang terhadap kedua-duanya,” katanya.

Polis belum terima laporan Badrolamin dipukul

28 Februari 2012
Badrulamin_Bahron
KUANTAN - Polis hanya menerima laporan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhubung tangkapan khalwat Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Badrolamin Bahron.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata setakat ini tiada sebarang laporan yang dibuat oleh Badrolamin berhubung dakwaan beliau dipukul ketika tangkapan itu.

Polis menerima laporan tangkapan khalwat terhadap individu terbabit yang dibuat Jaip pada 25 Februari lepas, yang dibuat di Balai Polis Beserah di sini pada 10.28 pagi, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada polis ada menerima laporan daripada Badrolamin, yang dilapor media sebagai mendakwa dipukul sekumpulan 20 lelaki yang menyerbu bilik hotelnya sebelum ditangkap atas dakwaan berkhalwat dengan isteri orang.

Mengulas lanjut, Mohd Jasmani berkata polis akan melakukan siasatan berdasarkan laporan yang diterima. - Bernama

Phahrolrazi: Keputusan saya sendiri, jangan kaitkan 'Anwarism'

MOHD IDROS MOHD ALI & ROSLINDA HASHIM
29 Februari 2012
Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, semalam.
ALOR SETAR - Datuk Phahrolrazi Nawawi menegaskan beliau sendiri membuat keputusan untuk tidak menyambung tugasnya sebagai Exco Kerajaan Negeri disebabkan perbezaan pendapat yang agak ketara dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, tindakan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak seperti yang dikaitkan sebelum ini iaitu Anwarism atau Erdogan untuk mendesak Azizan melepaskan jawatannya dalam kerajaan.
Menurutnya, ia tiada kaitan dengan sesiapa kerana lebih kepada perbezaan pendapat dengan Azizan.

"Kalau berbeza sedikit dan masih boleh tahan, saya akan duduk. Tetapi apabila menjadi ketara, saya rasa lebih baik duduk di luar sebab tidak boleh lagi bekerjasama untuk membuat keputusan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Kalau daripada 10 perkara, perbezaannya adalah enam atau tujuh, ia adalah besar dan perlu melakukan sesuatu untuk kebaikan bersama," katanya pada sidang media di rumahnya petang semalam.

Mengenai pengaruh Anwar, Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata, beliau tiada apa-apa hubungan dengan ketua pembangkang itu.

"Saya pun jarang berjumpa atau bercakap dengan Anwar," katanya.

Menurutnya, pandangan dan tindakannya itu turut dkongsi oleh Dr Ismail Salleh yang berpendapat untuk tidak meneruskan perkhidmatan sebagai Exco disebabkan tidak dapat membuat keputusan secara bersama.

Ditanya tindakannya itu adalah untuk mendesak Azizan melepaskan jawatan Menteri Besar, beliau berkata, ia langsung tiada kena-mengena.

"Jika saya nak mendesaknya letak jawatan, kenapa saya perlu keluar dari kerajaan. Adalah lebih mudah jika saya berada di dalam," katanya.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa tindakannya itu dikaitkan pertembungan antara golongan profesional dan ulama, beliau berkata ia adalah tidak benar.

"Adakah saya dianggap sebagai golongan profesional sedangkan tindakan saya ini mendapat restu Dewan Ulama Pas Kedah. Azizan juga ulama tetapi dapat sokongan pemuda dan muslimat Pas Kedah. Jadi tidak timbul soal itu," katanya.

Ditanya sama ada tindakannya itu boleh memecahbelahkan perpaduan parti, Phahrolrazi yang juga Adun Pengkalan Kundor berkata, ia tiada kena mengena dengan Pas sebaliknya hanya melibatkan urusan Kerajaan Negeri.

Ditanya bila mengambil keputusan untuk meletak jawatan, secara berseloroh beliau berkata tidak ingat tarikhnya.

"Seronok juga bila tiada jawatan dalam kerajaan. Bangun pagi boleh berehat sambil baca surat khabar sebab tiada tugas rasmi untuk dilakukan," katanya.

Sunday, February 26, 2012

Dewan Ulama: Bai'ah Pas selari tuntutan Islam

25 Februari 2012
Harun Taib
SHAH ALAM - Sumpah taat setia atau bai'ah yang diamalkan Pas selari dengan ajaran Islam kerana amalannya tidak bertentangan dengan syariat dan hukum syarak, kata Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Harun Taib.
Beliau berkata, amalan berbai'ah dalam Pas juga dilaksanakan berdasarkan kepada al-Quran dan hadis dan berteraskan ketaatan kepada Islam dan kesetiaan kepada pemimpin yang memperjuangkan Islam.
Dipetik Harakahdaily hari ini, Harun berkata, perkara itu dapat dilihat melalui firman ALLAH s.w.t sepertimana yang terkandung dalam al-Quran.
Oleh itu kata beliau, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada ALLAH, maka ALLAH akan memberi kepadanya pahala yang besar.
Harun juga berkata, para sahabat juga berbai'ah kepada Rasulullah sepertimana yang tercatat dalam hadis nabi dan diriwayatkan dalam sirah nabawiyyah.
Justeru menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir ini lagi, apa yang dilakukan oleh Pas dalam isu ba'iah adalah selari dengan tuntutan Islam dalam usaha untuk menegakkan agama ALLAH s.w.t di atas muka bumi ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sumpah bai'ah di kalangan calon Pas adalah menjurus kepada kepentingan politik parti itu semata-mata sedangkan dalam Islam bai'ah adalah janji untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab.
Katanya, bai'ah memang ada dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan.
"Saya rasa bai'ah (ini atas dasar) nak jadi calon, atas rasa kebimbangan lompat parti dan sebagainya. Adakah kita mempunyai barisan Yang Berhormat yang
tidak kita yakini dia punya perjuangan dan sebagainya.
"Kenapa bai'ah ini skop nak jadi calon sahaja kerana pada zaman Rasullah dan para sahabat kita lihat bai'ah diberi kepada kepimpinan tapi hari ini bai'ah
kepada bakal-bakal calon.
"Ini satu tanda tanya kepada masyarakat umum dan masyarakat ramai," katanya.
Selasa lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor berkata, setiap calon partinya yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai'ah, satu
bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah.
Menurut Abdul Hadi, bagi menentukan calon tidak menyeleweng daripada dasar Islam, cara dan matlamatnya.

'Tsunami politik landa Perlis'

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
26 Februari 2012
Datuk Seri Shahidan Kassim
KANGAR - Kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa ada dalang termasuk pemimpin parti itu sendiri yang membantu parti pembangkang untuk menjatuhkan imejnya membuktikan masalah dalaman parti itu masih parah.
Pengerusi PKR Perlis, Muhammad Faisol Abdul Rahman berkata, dakwaan itu jelas menunjukkan kebanyakan pemimpin Umno Perlis masih tidak menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pemimpin Umno bersatu-padu dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
 
Menurutnya, kebanyakan pemimpin politik Umno dan Barisan Nasional (BN) Perlis masih lagi bercakaran sesama mereka bagi menjamin kelangsungan politik masing-masing dan senario ini jelas satu petanda buruk kepada rakyat Perlis sekiranya mereka masih lagi mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
 
“Saya ada terdengar khabar angin mendakwa ada pemimpin Umno menuduh kami bekerjasama dengan beberapa individu dikatakan musuh politik pemimpin itu untuk menjatuhkan karier politik beliau di Perlis.
 
“Saya ingin mengulangi penubuhan ranting PKR Tambun Tulang yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini adalah inisiatif penduduk sendiri sehingga perkara itu mengejutkan kami memandangkan kawasan itu dikatakan kubu kuat Umno dan BN,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian.
 
Muhammad Faisol berkata, di sebalik kenyataan Umno Bahagian Arau yang tetap yakin Parlimen itu akan terus menjadi milik mereka, PKR Perlis akan terus menubuhkan sekurang-kurangnya empat ranting parti itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambun Tulang dalam masa terdekat.
 
Selain itu, Muhammad Faisol turut menjelaskan tambahan dua ranting PKR di kawasan Chuping, Padang Besar akan ditubuhkan dalam tempoh dua minggu lagi dan ianya juga merupakan hasil inisiatif penduduk sendiri.
 
“Sekiranya mereka beranggapan PKR dan PR masih bermimpi di siang hari, terpulang kepada mereka kerana saya yakin keangkuhan dan kebongkakan akan dihukum rakyat pada PRU13.
 
“Sebelum ini, siapa sangka lima negeri akan jatuh ke tangan PR pada PRU yang lalu? Kali ini, saya percaya gelombang tsunami politik lebih besar akan melanda negeri Perlis dan yakin rakyat akan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri di bawah PR,” katanya.
 
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Muhammad Faisol yang menyuarakan keyakinan PR mampu menawan Parlimen Arau dan kelima-lima Dun di bawah kawasan itu setelah tertubuhnya ranting Tambun Tulang baru-baru ini.
 
Bagaimanapun, Shahidan menyangkal keyakinan PKR Perlis dan menegaskan Umno Bahagian Arau tidak gentar kerana parti itu yakin rakyat akan memberi sokongan kepada pemimpin yang berbudi kepada mereka.

Penjelasan Isu Ustaz Badrol Amin di Fitnah Khalwat

Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan media bahawa saya ditangkap khalwat oleh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Kuantan.

Saya ke Kuantan untuk menghadiri Temurapat Pemimpin Parti Keadilan Rakyat pada 24 Februari sehingga 26 Februari 2012. Saya mengambil peranan aktif di dalam Temurapat ini.

Pada petang 24 Februari 2012, wanita tersebut telah menghubungi saya dengan nada cemas dan menyatakan hasrat beliau untuk melarikan diri daripada rumah kerana bimbangkan keselamatan diri beliau. Saya dengan tegas menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian.

Walau bagaimanapun pada jam 2.00 pagi 25 Februari 2012, beliau telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya. Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga. Di dalam usaha membantu pasangan ini, saya dan isteri pernah menziarahi keluarga ini di Rompin.

Di atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka. Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik.

Kenyataan Timbalan Pengarah JAIP bahawa saya ditahan oleh pegawai JAIP ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali. Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya. Saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan JAIP pada 27 Februari 2012. Saya akan hadir bersama peguam untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan ini.

Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap saya. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya.


Dr. Badrulamin Bahron

Saturday, February 25, 2012

Azizan: Saya ada hak lantik Exco tanpa rujuk Presiden parti

Wartawan Sinar Harian
25 Februari 2012
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pemilihan exco kerajaan negeri adalah hak beliau tanpa perlu merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Azizan berkata, beliau telah menyerahkan senarai nama exco kerajaan negeri bagi 2012 kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, dua hari lepas di Istana Negara.

"Walaupun Sultan Kedah menjadi Yang di-Pertuan Agong, segala pelantikan exco kerajaan negeri masih dalam bidang kuasa baginda, dan saya tak akan buat sebelum dapat perkenan baginda kerana ia tradisi kerajaan negeri.

"Biasanya, Tuanku Sultan akan perkenan, (terpulang kepada) baginda tolak yang tu (exco lama), dan bagi yang ni (exco baru), dan bila dapat surat, baru boleh bagi tau," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata senarai exco dari Pejabat Sultan Kedah dijangka diterima Ahad ini.

Azizan juga berkata sebenarnya tidak timbul soal menolak pelantikan semula oleh dua Exco seperti yang dilaporkan kerana beliau belum mengeluarkan surat tawaran kepada mereka.

"Pasai apa dia nak hantar surat, saya tak buat tawaran lagi, kalau hantar surat, baru boleh tolak, surat tak hantar, tawaran nak tolak macam mana.

Spekulasi ni ada benda betul, dan ada tak betul," katanya.

Beliau mengulas khabar angin dua exco Kedah menghantar surat kepada beliau bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, yang dijadual diumumkan Selasa ini.

Dua Exco yang disebut-sebut berbuat demikian ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II Datuk Dr Ismail Salleh, yang dipercayai kerana kecewa dengan sikap serta kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Kedua-dua Exco tidak mengesah atau menafikan khabar angin itu, dan menyerahkan perkara tersebut kepada Azizan.

Majlis pelantikan anggota Exco kerajaan negeri Kedah bagi tahun 2012 akan diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar. - Bernama

Polis diminta siasat Imam Hoslan baling kasut

24 Februari 2012
PUTRAJAYA - Badan Kehakiman telah membuat laporan polis terhadap seorang imam yang membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan Rabu lalu semasa prosiding mahkamah berjalan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Jumirah Marjuki telah membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam, menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar
Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata badan kehakiman memandang serius terhadap perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej institusi kehakiman itu, sama ada melalui sebarang tindakan secara langsung atau tidak, termasuk komen atau kenyataan yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi itu.
"Pejabat ini (Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan) menyangkal semua tuduhan dibuat oleh seorang imam iaitu Hoslan Hussin, termasuklah dakwaan beliau telah dinafikan hak untuk didengar dengan seadilnya," kata Aizuddin dengan menambah, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas.
Beliau berkata, pejabat pendaftar mempunyai rakaman setiap pendengaran yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan.
Menurut beberapa laporan media, Hoslan telah membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin selepas panel itu menolak permohonannya untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi memperolehi perintah pengusiran terhadap Hoslan yang enggan keluar dari kuarters yang didiaminya di premis masjid.
MAIWP memohon perintah pengusiran itu terhadap Hoslan, yang merupakan bekas imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di ibu negara sejak 2008, kerana masalah disiplin.
Hoslan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 20 Sept tahun lepas, menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bantahan awal MAIWP untuk menolak permohonan Hoslan diberi kebenaran untuk mengemukakan rayuan berdasarkan alasan notis usulnya difailkan di luar masa yang ditetapkan. - Bernama

Anwar hadir Himpunan Hijau 2.0 esok

Wartawan Sinar Harian
24 Februari 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM – Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama PKR akan menghadiri Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan, esok bagi membantah projek nadir bumi Lynas di Gebeng.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Temu Rapat Pimpinan PKR yang dijadualkan berlangsung di Lumut, Perak akan diadakan di Kuantan bagi membolehkan semua pimpinan parti menghadiri perhimpunan itu.

“PKR memberikan sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota PKR di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk bersama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Lagu Rasmi JATI

Lagu Tema JATI
JATI DIRIMU
Kamu adalah sebatang pohon,
Rimbunmu tempat berteduh,
Teguh batang walau diayun,
Tetap berdiri kukuh dan teguh.
Jalur Tiga jalur hikmah,
Tampil diri mu selamatkan ummah,
Kayumu JATI lambang keteguhan,
Tegaknya rumah lambang perlindungan.
Umat yang kuat bina muafakat,
Tempat berteduh sejahtera selamat,
Jalur Tiga jalur rahmat,
Hidup dirimu pembawa berkat.


Sila KLIK DI SINI untuk mendengar

Pas, NGO demo bantah tentera AS bakar al-Quran

AHMAD ISMADI ISMAIL
24 Februari 2012
demo Pas as
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas dan beberapa ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini mengutarakan bantahan dan mengutuk  tindakan kejam tentera Amerika Syarikat (AS) yang membuang dan membakar bahan bacaan Islam termasuk beberapa naskhah al-Quran dari perpustakaan penjara di Pengkalan Udara Afganistan, Isnin lalu.
Sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, kira- kira 200 orang berarak sepanjang 400 meter dan berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk mengatakan bantahan terhadap perbuatan terkutuk itu.
Setibanya kumpulan itu ke kedutaan negara terbabit di Jalan Tun Razak kira-kira jam 3.00 petang, Ketua Penerangan Pas, Riduan Mohd Nor dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan kelihatan memasuki kedutaan itu untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada wakil duta AS.
Nasrudin berkata, memorandum itu antaranya mendesak Presiden AS, Barack Obama mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota tenteranya yang bertanggungjawab membakar  al-Quran.
"Walapun Presiden AS telah memohon maaf, namun kami mendesak tindakan sewajarnya harus diambil ke atas anggota tentera yang terlibat," katanya.
Beliau berkata, tindakan tentera AS di Afghanistan itu cuba menimbulkan sentimen permusuhan terhadap umat Islam dan secara tidak langsung menimbulkan suasana tidak kondusif di negara Islam amnya.
"Barack Obama dilihat tidak serius dalam memulihkan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di AS, alasan dangkal kerajaan itu bahawa perlembagaan negaranya mengamalkan konsep kebebasan bersuara adalah jauh menyimpang dari penafsiran konsep kebebasan itu sendiri," katanya.
Nasarudin berkata, pada 2010, sebuah gereja di Florida telah mencetus kemarahan umat Islam apabila merancang untuk membakar al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September di New York dan Washington.
"Kerajaan AS harus mengambil berat isu yang diutarakan ini kerana umat Islam di seluruh dunia ada had dan tahap kesabarannya, al-Quran adalah kitab suci dan panduan hidup bagi umat Islam," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Akram Ikrami berkata, umat Islam harus menghayati dan mempertahankan al-Quran berhubung isu yang berbangkit ini.
"Seluruh umat Islam harus menghayati isi kandungan al-Quran sebagai panduan untuk bertemu dengan ALLAH SWT, kita juga harus mempertahakan al-Quran walaupun terdapat pelbagai ideologi politik
Sejurus kontroversi tersebut, pasukan tentera AS, Nato dan Obama mengambil tindakan segera untuk memohon maaf atas tindakan mereka membuang dan membakar beberapa naskhah al-Quran

Mahathir ulangi debat Najib-Anwar tak perlu

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
24 Februari 2012
MAHATHIR
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa debat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu meskipun ramai berpendapat debat itu harus dijalankan.
Beliau berkata, debat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang itu hanya membuang masa dan tidak mendatangkan hasil kerana masing-masing akan tetap menegakkan pendirian sendiri.
"Buat apa nak debat, saya tidak rasa masing-masing boleh perbetulkan persepsi masing-masing hasil daripada perdebatan seumpama ini.
"Debat kalau dijalankan, tidak akan dapat mengubah pandangan Anwar mahu Najib. Justeru, tak perlulah nak diteruskan hasrat debat dia tu, biar rakyat buat penilaian sendiri kebolehan kedua-dua mereka," katanya selepas sesi soal jawab pada Program Bicara Minda anjuran Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.
Bekas Presiden Umno ini berkata, niat Anwar ingin berdebat untuk isu luar negara dan ekonomi adalah kerana merasakan dirinya lebih arif bercakap mengenai isu berkenaan berbanding soal dalam negara.
"Dia (Anwar) tidak setuju dengan Datuk Seri Najib. Bila bercakap mengenai hal luar negara dan ekonomi, dia merasakan dia dapat buktikan apa Najib buat selama ini adalah salah.
"Saya tahu, Anwar memang nak jadi perdana menteri sejak dari dahulu lagi, malangnya strategi dia buat tu salah. Dia cabar saya dulu, tapi dia gagal," katanya.

Siapa dalang taja Hasan Ali?

AHMAD NORMAN ABU TALIB
24 Februari 2012
jati dilancar
SHAH ALAM – Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad meminta bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk menjelaskan sama ada benar dakwaan beliau bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkannya,
Jalur Tiga (Jati) ditaja oleh dua syarikat besar.
Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam bagaimanapun menafikan beliau membuat tuduhan itu, sebaliknya cuma mahukan penjelasan Hasan sama ada benar dakwaan yang dikatakan merupakan "cakap-cakap kedai kopi."
Menurutnya, beliau berpendapat kemungkinan dakwaan tersebut benar kerana syarikat-syarikat itu akan mendapat faedah sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Katanya, bukan dua syarikat itu sahaja, malah dipercayai banyak lagi kontraktor yang akan mendapat faedah tersebut kerana di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mereka tidak berpeluang mendapat keuntungan seperti dahulu.
Hasan sebelum ini menubuhkan Jati untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja (IMR) di mana pelancarannya diadakan Selasa lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
“Saya bukan menuduh cuma saya mahu penjelasan dan penafian supaya rakyat Selangor tahu kerana selain daripada dua syarikat besar itu mungkin ada lagi kontraktor-kontraktor lain yang membiayai Hasan.
“Orang yang membiayainya pastilah orang yang mendapat faedah keuntungan daripada tajaan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau ingin tahu dari mana sumber kewangan diperoleh Hasan bagi menampung siri jelajah ceramahnya itu, termasuk pelancaran Jati yang didakwanya sekurang-kurangnya memerlukan perbelanjaan RM30,000 untuk sewa dewan sahaja.
Secara sinis beliau berkata, mungkin Hasan menggadai rumah dan menjual keretanya sebagai pengorbanan bagi membiayai perjuangan politiknya.
Khalid berkata, beliau memberi peluang kepada ketiga-tiga pihak itu untuk tampil membuat penjelasan dan penafian.
Menurutnya, ketiga-tiga pihak itu perlu menafikan dakwaan mengatakan mereka mendapat keuntungan sekiranya PR tidak lagi memerintah negeri ini.
“Kalau betul mereka akan dapat untung sekiranya PR jatuh nanti, maka andaian rakyat dan percakapan di kedai kopi mengenai syarikat-syarikat itu sedang membiayai Hasan itu berasas. Saya tegaskan di sini saya tidak menuduh tetapi saya meminta penjelasan dan penafian,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Khalid mempertikaikan nilai kontrak baru Hospital Shah Alam yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor bernilai kira-kira lebih RM400 juta.
Katanya, sebelum ini kontrak asalnya bernilai anggaran RM480 juta dan telah dibayar kira-kira RM200 juta.
“Sekarang ini nilainya mencecah RM600 juta, malah projek yang sepatutnya siap Oktober 2010 itu kini dijangka siap 2014. Adakah dia (Shaziman) bangga dengan pencapaiannya itu?” katanya.

Friday, February 24, 2012

Isu Israel: Umno diminta diam, jangan laga Pas-PKR

24 Februari 2012
SHAH ALAM – Umno tidak perlu melaga-lagakan pemimpin Pas dan PKR dalam isu Israel kerana parti teras Barisan Nasional (BN) itu juga pernah menerima penyelesaian dua negeri  Israel dan Palestin, kata  Datuk Mustafa Ali hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas ini, Umno lebih akomodatif terhadap Israel berbanding dengan sikap Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang memberikan syarat untuk Israel jika mahu diterima iaitu menyokong dan mengiktiraf Palestin.

Kata Mustafa, tujuan sebenar Umno menekankan isu Israel dan Palestin ini adalah untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

"Inilah yang ditakuti sebenarnya oleh Umno iaitu kekuatan ikatan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat," kata beliau dipetik Harakahdaily.

Sejak dari era kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Mustafa, menjadi dasar negara Malaysia yang ditunjangi Umno mengiktiraf Israel walaupun tidak secara terbuka.

Bahkan bendera Israel juga pernah berkibar di bangunan Umno, PWTC.

"Sebab itu sejak dahulu lagi Malaysia membenarkan pasukan hoki Israel bermain di Malaysia, membenarkan hubungan dagang antara Israel dan Malaysia.

"Bahkan, menteri Umno juga pernah berjumpa dan berbincang dengan menteri Israel," jelas beliau.

Oleh itu, apabila para pemimpin Umno menekan Datuk Seri Anwar dalam isu Israel ia sepatutnya tidak berbangkit langsung.

Ini kerana, Umno melalui kerajaan Malaysia sejak dahulu mengiktiraf Israel.

"Yang berbezanya, Pas tidak mengiktiraf Israel. Umno pula hanya berminat dalam isu ini ekoran kenyataan Anwar dalam The Wall Street Journal adalah untuk memecahkan Pas dan Pakatan Rakyat.

"Jadi jangan haraplah. Lebih baik menteri-menteri Umno itu diam kerana Umno juga sama sahaja mengiktiraf Israel," kata Mustafa lagi.

Thursday, February 23, 2012

Bai'ah: Nik Aziz nafi 'tohmahan' Tun Mahathir

Wartawan Sinar Harian
23 Februari 2012
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menafikan tanggapan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menegaskan, partinya tidak pernah memaksa ahli-ahlinya taksub kepada pemimpin-pemimpin parti itu.

Malah kata beliau, kenyataan Dr Mahathir juga memberi satu tanggapan yang salah mengenai dasar dan perjuangan Pas.

"Semalam Dr. Mahathir ada komen mengenai bai'ah yang diamalkan oleh Pas. Ia semacam mentohmahkan cara bai'ah Pas sebagai ketaksuban kepada pemimpin tidak Kepada Allah SWT.

"Sebenarnya, Pas tidak mengamal sebegitu. Pas mengajar ahli dan pemimpinnya berbai'ah tetap kepada Allah dan Rasul serta kepatuhan kepada rukun erjamaah, bukannya pemimpin," kata beliau dalam komen yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook.

Sehubungan itu kata beliau, jelas sekali Dr. Mahathir sudah tersasar dalam menterjemahkan Pas sebagai sebuah  gerakan politik Islam yang meletakkan akidah perjuangan Islam sebagai keutamaan.

Anak Amir Ukay’s meninggal dunia

Wartawan Sinar Harian
22 Februari 2012
Anak Amir Ukay’s meninggal dunia
Penyanyi, Amir Ukay’s kehilangan anak lelakinya, Muhammad Imran,15,  berikutan masalah kompilasi jantung yang dihidapi sejak kecil.

Menurut Amir, anaknya menghembuskan nafas terakhir waktu solat Maghrib semalam, ketika dalam perjalanan ke Hospital Gleneagles, Ampang.

“Saya tidak sangka dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun saya redha dengan pemergiannya," katanya.

Jelas Amir, Imran menetap bersama ibu mertuanya sejak dia bercerai dengan isterinya pada 2006.

“Kali terakhir saya berhubung dengan arwah, empat hari lalu.

"Ketika itu Imran ingin memberi tahu nombor telefon bimbitnya yang baru,” katanya.

Amir berkata, sepanjang hayat, arwah pernah menjalani tiga kali pembedahan kerana masalah jantung.

Tambah Amir, semasa arwah kecil, doktor pernah memberitahu penyakit Imran agak kompleks dan tidak ada penawarnya, malah bergantung pada ubat-ubatan yang diberikan.

Malah dia sering berdepan masalah kesihatan tidak menentu.

“Setiap tiga bulan sekali dia akan menjalani pemeriksaan doktor. Saya dan bekas isteri sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buatnya tetapi apakan daya, semuanya bergantung pada kuasa Tuhan,” ujarnya yang turut memberitahu bekas isterinya berada di London di saat putera kesayangan mereka meninggal.

Jenazah anaknya dikebumikan malam tadi di Masjid Attaqwa Taman Tun Dr Ismail.

Sementara itu, vokalis kumpulan Ukay’s yang terkenal dengan lagu Di Sana Menanti Di Si

Wednesday, February 22, 2012

Tak perlu bai'ah, kata Tun Mahathir

ZULAIKHA ZULKIFLI
22 Februari 2012
Tun Dr Mahathir Mohammed
SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan langkah Pas yang mahu mewajibkan calonnya, yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13, mengambil sumpah bai'ah atas alasan ia seolah-olah menunjukkan ahli-ahlinya tunduk kepada pemimpin mereka.

Bekas Perdana Menteri berkata, manusia sepatutnya hanya tunduk kepada ALLAH dan bukan kepada sesama manusia.

Beliau yang juga bekas Presiden Umno memberitahu bahawa pemimpin-pemimpin Pas juga merupakan manusia biasa, bukannya Nabi atau raja.

"Dia orang (pemimpin Pas) hanya manusia biasa. Bukan Nabi, bukan raja. Tak perlu bai'ah ini," katanya pada sidang media selepas memberi syarahan perdana di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setiap calon yang bertanding dalam pilihan raya wajib berbai'ah sebagai satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah.
Katanya, tujuan bai'ah dilakukan bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya. 
 
Abdul Hadi berkata lagi, sesiapa yang melanggar bai'ah yang dibuat "maka akan celaka dunia dan akhirat."
 
Selain itu, Mahathir berkata, bai'ah yang dibuat oleh Pas bertujuan untuk mengongkong pemikiran ahlinya agar tidak menerima pendapat yang berlainan daripada matlamat parti itu. 
 
"Bai'ah ialah kita bersumpah setia pada pemimpin. Mereka manusia dan buat salah. Malah banyak pemimpin Pas yang buat salah dari segi agama," katanya. 
 
Sementara itu, mengulas mengenai dasar Pas yang dilihat menyeleweng daripada matlamat asal untuk menubuhkan Negara Islam, Mahathir berkata, parti itu sanggup membuat apa sahaja sehingga sanggup bekerjasama dengan DAP. 
 
Katanya, Pas lebih rela bekerjasama dengan DAP berbanding Umno.  
 
"Dulu kita dah pernah buat (bergabung) dengan masukkan Pas dalam (Barisan Nasional) BN. Tapi dia (Pas) bukan perjuangkan BN tetapi cuma kembangkan pengaruh dia sahaja. Jadi tidak ada keikhlasan mereka untuk bekerjasama. Sebab itu kita berpisah. 
 
"Sehingga kini mereka tak nak bekerjasama dengan Umno tetapi lebih suka dengan DAP sehingga gugurkan (konsep) Negara Islam, Itulah Pas," katanya lagi.

“Kapal Israel singgah, tiada urusan”

Wartawan Sinar Harian
22 Februari 2012
Wesports
SHAH ALAM – Westports Malaysia menyangkal dakwaan ada kapal dari Israel berlabuh di Pelabuhan Klang dan menjalankan urus niaga dengan negara ini.
Ketua Korporatnya, Mejar (B) Manisegaran berkata, Westports tidak pernah beri lampu hijau kepada kapal didaftarkan di Israel untuk berlabuh.
 
Menurutnya, ada kapal dari Israel singgah, tetapi tidak berlabuh kerana gagal mendapat kebenaran kerajaan.
 
“Memang ada, tetapi hanya untuk singgah. Mereka tidak dibenarkan menetap dan anak kapal pula dilarang menjejak kaki ke darat, jauh sekali kita melakukan urusan perniagaan dengan kapal itu.
 
“Seperti dakwaan pihak tertentu (Jingga 13) yang kami menerima kapal dari syarikat Zim Integrated Shipping Service Ltd, pada 16 Februari tahun lalu, iaitu datang secara langsung dari Ashdod Israel, memang ada, tetapi mereka singgah sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurutnya, Westports tidak mempunyai kuasa untuk ‘mengganggu’ kapal berkenaan, namun mereka mesti menurunkan bendera Israel jika berada di perairan negara.
 
“Westports tidak boleh sesuka hati menahan atau menghalau mereka daripada singgah di perairan negara. Begitu juga kapal Zim Integrated hanya singgah di pelabuhan dan anak kapal juga tidak turun ke darat,” katanya.
 
Ditanya sama ada Westport mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan kapal berkenaan walaupun singgah di negara ini, Manisegaran berkata, tidak ada peruntukan undang-undang membenarkan pihaknya menghalau kapal yang sekadar singgah sebelum meneruskan perjalanan ke negara lain.
 
“Kapal itu bukan terus dari Israel dan menuju terus ke Malaysia, sebaliknya singgah di beberapa pelabuhan sebelum ke destinasi seterusnya. Perkara ini berlaku di mana-mana negara di dunia kerana setiap pelabuhan menjalankan fungsi sebagai transit atau dikenali persinggahan.
 
“Kita tidak pernah langgar dasar kerajaan yang melarang sebarang bentuk perhubungan dengan Israel. Apa pun, andai kata ada barangan Israel dikesan cuba dibawa ke negara ini, kami tidak akan membenarkan kontena itu turun,” katanya.
 
Manisegaran turut menyangkal dakwaan sebuah portal mengenai pihaknya ada akses dengan Israel secara langsung.
 
Katanya, itu semua tidak benar kerana negara ini tidak pernah ada urusan diplomatik dengan Israel.

Tuesday, February 21, 2012

BERITA-BERITA PILIHAN


Mahfuz: BN ‘iktiraf’ Israel, jadi wajar minta maaf

ZULAIKHA ZULKIFLI
20 Februari 2012
Datuk Mahfuz Omar
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar kerajaan pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kenyataan mereka sebelum ini yang kononnya tidak mengiktiraf Israel.

Beliau berkata, walaupun tiada hubungan diplomatik secara rasmi dibuat, tetapi dengan membenarkan kehadiran pasukan kriket Israel pada 1997 membuktikan bahawa Malaysia memberi pengiktirafan secara tidak langsung.

“Kerajaan Umno dan BN perlu minta pada seluruh rakyat Malaysia kerana secara tak langsung mengiktiraf kewujudan negara haram Israel. Ia berdasarkan, pertama, kehadiran pasukan kriket yang mana pada waktu itu saya ditahan dan dibicara.

"Kedua, dengan membenarkan mereka masuk seperti kehadiran kapal-kapal dagang milik Israel di Pelabuhan Klang. Ini membuktikan kita iktiraf mereka. Jadi mereka perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakyat Palestin," katanya pada sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini membuat gesaan ini ketika Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan dengan kontroversi susulan temu bual dengan Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu, yang mendakwa menyatakan sokongan terhadap semua usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan negara Israel.

Rentetan daripada kejadian itu, Anwar dikecam oleh pelbagai pihak dengan mengatakannya sebagai pro-Israel sehingga menyebabkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluar kenyataan meminta beliau menarik balik kenyataan atau menyaman media antarabangsa itu.

Khamis lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa PKR yang diketuainya berkongsi hasrat dan pendirian dengan Pas untuk melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.

Sambil menegaskan beliau memahami perbezaan pendirian Pas dan PKR, Anwar menambah, parti Islam itu berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

"Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari Pas, Majlis Syura Pas dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

"Ketetapan Pas yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Anwar.

Anwar ajak Najib debat isu Palestin

ZULAIKHA ZULKIFLI
21 Februari 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
GOMBAK - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar berdebat dengannya, kali ini berhubung isu rakyat Palestin.

Anwar pernah membuat pelawaan berdebat dengan Najib tahun lalu berhubung dasar kerajaan tetapi tidak menjadi kenyataan.

Ketua Pembangkang ini berharap debat itu boleh diadakan minggu depan susulan sambutan terhadap debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng Sabtu lalu.

Anwar berkata, langkah itu perlu berikutan pelbagai dakwaan yang melibatkan dirinya dengan isu Israel dan pembebasan rakyat Palestin.

Beliau kini berhadapan dengan kontroversi berhubung kenyataannya berkenaan kedudukan Israel dalam konflik Asia Barat dalam satu temu bual dengan Wall Street Journal bulan lalu. Beliau dikecam hebat oleh pesaing politiknya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Anwar menarik balik kenyataan itu akan menerima kunjungan Ketua Umum PKR di ibu negara, pagi ini.

"Saya tak pernah ada hubungan dengan Israel. Siapa sebenarnya yang berurusan dengan kerajaan Israel? Parti mana? Habis, kapal dagang yang berlabuh di Pelabuhan Klang itu milik siapa?

"Mereka kata Anwar ini bermuka-muka, menyokong Israel. Cukuplah dengan penipuan ini. Sekarang giliran rakyat untuk bangkit dan menolak kezaliman. Dan, jika betullah (dakwaan itu), kita debat soal Palestin," katanya pada ceramah Isu Israel dan Penjelasan Anwar di Taman Seri Gombak malam tadi.

Selain itu, Anwar turut memberi jaminan debat antara beliau dan Najib akan diadakan dengan penuh hemah dan hormat selaku pemimpin nombor satu negara itu.

"Lepas debat antara Datuk Chua Soi Lek dengan Lim Guan Eng, minggu depan debat saya dengan Najib pula. 

"Jangan bimbang. Saya akan bersopan dan tetap hormat beliau. Saya beri jaminan, saya akan memastikan debat itu akan berjalan dengan baik sepertimana saya melayan (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Ahmad Shabery Cheek tempoh hari," katanya dengan merujuk kepada debat pada pertengahan tahun 2008 mengenai isu harga minyak.

Susulan debat Soi Lek dan Guan Eng Sabtu lalu, firma kajian pendapat umum Merdeka Center yakin debat melibatkan Najib dan Anwar akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat. Pengarah Eksekutifnya, Ibrahim Suffian berkata, debat antara Soi Lek dan Guan Eng telah memberi lonjakan kepada keperluan bagi debat melibatkan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Mahathir: Debat Anwar-Najib tidak perlu

20 Februari 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perdebatan antara kaum tidak akan mendatangkan apa-apa hasil kerana setiap kaum di Malaysia akan tetap dan sentiasa berpegang dengan pendirian masing-masing.
"Kalau kita lakukannya pun (perdebatan antara kaum), kesannya tidak ada, ia (boleh) jadi memburukkan (lagi) keadaan, masing-masing masih berpegang dengan pendirian masing-masing," katanya.
Dr Mahathir yang sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup dengan wakil Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada perdebatan antara kaum boleh diadakan.
Mengenai perjumpaan itu, beliau berkata ia adalah bagi membincangkan pelbagai isu yang berkaitan dengan kaum Melayu termasuk soal perpecahan.
Ketika ditanya mengenai debat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Irahim yang dicadangkan pembangkang, Dr Mahathir berkata, debat itu tidak perlu diadakan kerana pendirian Anwar terhadap banyak isu memang sudah diketahui ramai.
"Beliau boleh jadi apa sahaja, beliau umpama sumpah-sumpah, beliau bertukar warna setiap masa. Apabila beliau bersama dengan orang India, beliau menjadi orang India, apabila beliau bersama dengan orang Islam, beliau akan memberi ceramah mengenai Islam. Apa yang mereka perjuangkan ialah untuk menjadikan beliau Perdana Menetri, itu sahaja," katanya. - Bernama

Anwar jumpa esok, Nik Aziz kekal pendirian

G MANIMARAN
20 Februari 2012
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Pertemuan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang sebelum ini disebut-sebut akan diadakan hari ini berhubung kontroversi kenyataan tentang Israel, ditangguhkan sehingga esok.
Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian Online bahawa pertemuan yang dinanti-nantikan itu dijadual akan berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pagi esok.
"Pertemuan akan berlangsung esok, masa belum ditentukan... kemungkinan sebelah pagi. Jadual sedang diatur dengan mengambil kira program dan temu janji yang telah pun diaturkan terlebih dahulu," kata seorang pegawai kanan dari Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Laporan media sebelum ini menyebut pertemuan itu akan diadakan sebelah malam ini.
Nik Abdul Aziz dikatakan berada di ibu negara bagi menghadiri beberapa program rasmi, termasuk akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.
Pegawai Pejabat Anwar juga mengesahkan bahawa berdasarkan maklumat awal pertemuan akan diadakan pagi esok.
"Setakat ini (pagi tadi), saya dimaklumkan pertemuan akan diadakan pagi esok," katanya lagi.
Pegawai Menteri Besar Kelantan menambah, setakat ini pihaknya tiada apa-apa rancangan untuk mengeluarkan kenyataan media.
Dalam pada itu, pegawai kanan Nik Abdul Aziz juga berkata, Menteri Besar Kelantan masih kekal dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syuar Ulama minggu lalu.
Isnin lalu, Nik Abdul Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.
"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau.
Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.
Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa,  serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.
Anwar, dalam kenyataan media dikeluarkan Khamis lalu, berkata PKR yang diketuainya berkongsi hasrat dan pendirian dengan Pas untuk melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.
Sambil menegaskan beliau memahami perbezaan pendirian Pas dan PKR, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini menambah, parti Islam itu berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.
"Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari Pas, Majlis Syura Pas dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.
"Ketetapan Pas yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Anwar.

Saturday, February 18, 2012

Nik Aziz: 'Saya tak mahu dilaga-lagakan'

NORHASRAM MOHAMAD
18 Februari 2012
Nik Abdul bersalaman dengam anggota Pekida pada program Pelancaran Merealisasikan Amar Maaruf Nahi M
KOTA BHARU – Terserah kepada kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan kepada orang ramai mengenai isu sokongan terhadap Israel, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya akan dengar jawapan daripada dia (Anwar), tapi saya tak akan jawab. Saya serah kepada dia sendiri untuk menjelaskan kerana saya mahu mengelak wartawan melaga-lagakan saya dengan dia.

“Soal dia nak pertahan kenyataan dia menyokong Israel itu dia punya pasal, kenyataan saya sebagai mewakili Pas dan dia mewakili PKR,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Merealisasikan Amar Maaruf Nahi Mungkar Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Negeri Kelantan di sini, semalam.
Mengenai kemungkinan Ketua Pembangkang itu salah faham kenyataan Pas berhubung isu tersebut, katanya, itu tak menjadi masalah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, segalanya akan terjawab apabila beliau berpeluang bertemu Anwar.

“Ahad malam atau pagi Isnin depan saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Raja-Raja. Kalau Anwar dapat bertemu saya di sana, terima kasihlah,” katanya.

Anwar dalam kenyataannya semalam menegaskan tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mengiktiraf Israel dengan syarat negara itu berundur dan menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Katanya, walaupun beliau akur perbezaan pendirian antara Pas dan PKR berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin, PKR sentiasa berkongsi hasrat dengan Pas untuk melihat Palestin merdeka sepenuhnya.

Anwar berkata, beliau dituduh sebagai ejen Israel oleh media Umno sedangkan Menteri Luar dari Umno secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state-solution) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hasan Ali: Kerajaan Kelantan pun ada parasit

18 Februari 2012
Hasan Ali
KUALA LUMPUR - Datuk Dr Hasan Ali mengulangi dakwaannya bahawa golongan parasit semakin mencengkam kuat Pas sehingga kini sudah menjadi majoriti dan memegang kuasa dalam parti Islam itu.

Sehubungan itu, kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor ini, dalam kerajaan Pas negeri Kelantan juga wujud parasit yang dekat dengan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Abdul Aziz juga merupakan Mursyidul Am Pas.
"Takkanlah (Presiden Pas Datuk Seri Abdul) Hadi Awang dan Nik Aziz tidak layak jadi Perdana Menteri.
"Takkanlah pasal pakai kopiah tidak boleh jadi Perdana Menteri sedangkan terdapat banyak pemimpin luar tidak fasih berbahasa Inggeris. China jadi kuasa ekonomi dalam dunia walaupun tidak pandai cakap orang putih," katanya semasa ditemu ramah dalam program bual bicara Helo Malaysia BernamaTV di saluran 502 Astro malam ini.
Disebabkan sudah tidak mendapat ruang dalam Pas yang katanya kini dikuasai oleh golongan parasit, beliau menubuhkan "Jati" (Jalur Tiga), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang keahliannya adalah terbuka termasuk kepada ahli Pas dan Umno jika niat mereka mahu memilih Islam sebagai kuasa ketiga.
Hasan berkata, Jati tidak akan bertanding dalam pilihan raya tetapi akan menjadi kuasa penentu kerana ramai orang Melayu dan Islam hari ini sudah putus asa dengan senario politik sekarang.
"Jati boleh bekerjasama dengan Umno mahu pun Pas jika perkara Islam, Melayu dan Raja menjadi keutamaan," katanya.
Hasan berkata, Pas harus dikembalikan ke tangan ulama.
"Sekarang konsep negara Islam sudah ditinggalkan dan pemimpin (Pas) hari ini hanya bercita-cita untuk ke Putrajaya.
"Bagi saya Putrajaya itu adalah bandingan yang paling hampir, seharusnya bandingan perlu dibuat lebih jauh, lebih 1,000km. Ini kalau setakat Putrajaya, dia bukan seorang yang layak menjadi pemimpin," kata bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor ini.
Katanya, jika Putrajaya jatuh ke tangan golongan parasit itu, negara Islam tidak akan dapat ditegakkan kerana ini sudah dibuktikan di Selangor apabila syariat Islam yang kecilpun susah hendak dilaksanakan.
Dalam temu ramah kali ini, Hasan yang dipecat Pas awal bulan lalu berkata, terdapat pemimpin kerajaan Selangor termasuk daripada Pas sendiri menerima perbuatan maksiat oleh umat Islam sebagai satu cabang hak asasi manusia.
Beliau berkata, dalam tempoh lebih tiga tahun menjadi anggota exco menjaga hal ehwal Islam kerajaan Selangor, beliau cuba menegakkan Islam melalui peruntukan enakmen syariah negeri terhadap orang Islam tetapi mendapat bantahan kuat daripada DAP dan PKR, dua parti yang bersama Pas membentuk kerajaan negeri Selangor.
"Mereka memberi alasan apa yang saya buat bertentangan dengan prinsip hak asasi, kebebasan untuk buat pilihan dan ada yang menyatakan apa salahnya siang-siang sudah teruk bekerja dan biarlah malam dia melakukan sesuatu yang melegakan dengan 'girlfriend'," katanya.
Hasan berkata, bahawa dalam urusan pembangunan, beliau mendapat kerjasama cukup baik daripada rakan-rakan dalam kerajaan negeri tetapi dalam
perkara-perkara untuk menegakkan Islam tentangan yang diterima amat kuat.
Ketika ditanya tidakkah beliau mendapat sokongan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam urusan Islam, Hasan berkata:
"Saya tidak boleh letakkan 'percentage' pada ketua saya, tetapi apa yang saya boleh katakan dalam hal-hal sedemikian saya tidak dapat sokongan padu daripada atas dan teman-teman exco yang lain... bila tentang Islam, memang banyak halangan".
Hasan, yang dipecat oleh Pas kerana didakwa melakukan perbuatan yang menjejaskan kepentingan parti, berkata prinsip sangat penting dalam perjuangan beliau dan kerana itu beliau sanggup mengorbankan jawatannya untuk menegakkan Islam, Melayu dan Raja.
"Apa yang berlaku pada saya adalah di luar aspek konvensional di mana saya digugurkan bukan kerana salah guna kuasa, tidak bermoral, minum atau liwat tetapi saya dipecat kerana hendak tegakkan Islam, martabatkan Melayu dan nak tegakkan institusi raja," katanya

Friday, February 17, 2012

SELAMAT DATANG KE WEBSITES BARU



Thursday, February 16, 2012

Berkenaan kenyataan Mufti Perak


Dr Ismail Ibrahim
SAYA tidak berniat hendak menyokong atau membangkang kenyataan Mufti Perak yang mengatakan bahawa Perdana Menteri telah "menggadaikan akidahnya kerana menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves.

"Menggadaikan akidah" adakah bermakna mencemarkan akidah? Menggadaikan akidah adakah bermakna terkeluar dari akidah Islam, dan seterusnya menjadi syirik?
Kalau inilah maksud menggadaikan akidah yang disebutkan oleh Mufti Perak itu, maka hal ini telah menjadi satu fatwa yang amat berat dan serius kepada umat Islam, terutamanya kepada batang tubuh Perdana Menteri sendiri, dan pihak bertanggung jawab tentang agama di negara kita haruslah memberikan perhatian yang serius juga kepada fatwa ini.

Hal yang berhubung dengan akidah bukanlah perkara mudah kerana akidah merupakan keimanan kepada agama Islam itu sendiri, dan akidah yang tergadai sekiranya dimaksudkan akidah yang telah tercemar atau terkeluar dari akidah Islam, maka orang itu dengan sendirinya menjadi tidak mukmin dan tidak Islam, syirik dan kafir.

Apakah pengertian ini yang dimaksudkan oleh Mufti Perak dengan ungkapan "menggadaikan akidah" itu? Juga kenyataannya tentang perbuatan syirik yang dilakukan oleh Perdana Menteri itu.

Hal ini menjadi lebeh ringan sekiranya maksud menggadaikan akidah itu ialah melakukan satu perkara dosa terhadap Allah dan Rasul-Nya, kerana orang yang berdosa itu tidak akan rosak akidahnya dengan hanya melakukan dosa selagi tidak terang-terang melakukan perbuatan yang merosakkan akidahnya.
Hal inilah yang perlu diperjelaskan supaya umat Islam tidak menjadi keliru dengan fatwa Mufti Perak tentang orang Islam yang menyertai perayaan tersebut.
Mungkin Jakim, Majlis-majlis Agama Negeri, Majlis Fatwa Kebangsaan, malah DYMM Raja-raja Melayu sendiri sebagai Ketua Agama Negeri perlu segera mengambil tindakan bagi membincangkan fatwa Mufti Perak ini dan memberikan keputusan yang muktamad dalam isu ini.

Isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam kita. Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil, seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang.

Hal yang fundemental bagi seorang Islam. Hal ini merupakan fatwa untuk seluruh negara dan seharusnya mendapat ijmak ulamak di negara kita ini, terutamanya kerana kita mempunyai institusi dan agensi agama yang berotoriti.

Sebab itulah telah saya katakan di atas, saya, sebagai seorang individu, tidak dapat menyokong atau membangkang fatwa seorang Mufti. Namun fatwa seorang Mufti tidaklah seharusnya mencerminkan fatwa negara seluruhnya kerana kita mempunyai badan agama dan institusi raja-raja yang merupakan institusi agama di seluruh negara kita ini.

Jawapan yang rasmi terhadap fatwa yang tersebut haruslah disegerakan, kerana fatwa ini mungkin mengelirukan umat Islam di negara kita keseluruhannya, sekiranya tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan oleh Majlis Raja-raja sendiri.



* Datuk Dr Ismail Ibrahim merupakan bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Anwar: Teguran Nik Aziz sopan, Umno fitnah

ZULAIKHA ZULKIFLI
16 Februari 2012
Anwar Ibrahim
SUBANG JAYA - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan teguran Menteri Besar Kelantan itu sebagai "lembut dan sopan."

Anwar berkata, beliau akan bertemu dengan Nik Aziz Isnin depan berikutan jadual kerjanya yang padat.

"Sebelum ini saya di luar negara dan kini baru pulang dari Bangkok (Thailand), Nik Aziz pula di Kelantan. Tetapi isu yang terjadi ini berbeza. Umno memfitnah saya dan padam kenyataan saya yang mengatakan tentang hak rakyat Palestin.

"Nik Aziz tegur saya lembut dan sopan. Beliau mencadangkan kalau saya ada kata, tarik balik, jika tidak, saman," katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan mingguan dan sambutan Maulidur Rasul di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pertemuan itu.

Sebaliknya kata Anwar, beliau akan mengeluarkan kenyataan media petang ini.
Dalam temu bual dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Januari lalu, Anwar menyatakan sokongan terhadap semua usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan negara Israel.
Bagaimanapun, kelmarin, Nik Aziz menggesa Ketua Pembangkang itu, menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam WSJ bulan lalu.
Justeru, bagi menangkis dakwaan bahawa dirinya menyokong Israel, Anwar berkata, kenyataannya mengenai hak rakyat Palestin telah dipadam.
Beliau turut menegaskan, akan memberitahu mengenai pertemuannya bersama pemimpin Hamas, Khalid Mash’ad ketika kunjungan ke Qatar, dalam kenyataan yang akan diberi petang ini.
"Mereka (Umno) memotong kenyataan saya yang menyebut mengenai hak rakyat Palestin. Sama juga seperti bila Menteri Pertahanan kita berjumpa Menteri Pertahanan Israel, Menteri Luar kita berjumpa Menteri Luar Israel, ada media siarkan? Media takkan laporkan benda itu," katanya.