Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Wednesday, December 19, 2012

Abby akan bantu kempen PRU13

Wartawan Sinar Harian
19 Disember 2012
Abby Abadi
Abby Abadi
KANGAR - Bekas pelakon popular drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi berjanji akan membantu calon Pas berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya sanggup turun bersama Muslimat Pas sebagai perayu undi di seluruh pelosok negara pada PRU13 nanti.

“Kami cukup bersedia untuk sama-sama menggempur pihak lawan pada kempen pilihan raya nanti untuk merayu undi,” katanya ketika menyertai perhimpunan kebangkitan rakyat peringkat negeri di dataran Kompleks Pas Perlis di Jalan Kampung Pondok di sini, malam kelmarin.

Kira-kira 4,000 ahli Pas dan PR menghadiri program itu.

Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan berkata, beberapa rakan artis lain akan bersamanya tidak lama lagi untuk memberi sokongan kepada PR.

Sungguhpun mengakui dirinya adalah dari keluarga penyokong Barisan Nasional (BN) bahkan ayah dan ibunya ialah orang Umno tetapi hatinya lebih terbuka untuk memilih Pas kerana ada hikmah  di sebaliknya.

“Saya ingin membina rumah di syurga,” katanya sambil menyifatkan dirinya begitu tenang setelah menyertai Pas.
Abby menyifatkan penyertaannya dalam Pas sebagai jihad dalam kehidupannya setelah meninggalkan dunia lakonan.

“Saya rasa begitu bahagia sebagai seorang Muslimah yang akan meneruskan perjuangan mencari kebenaran dan keadilan bersama parti pilihan,” katanya.

Asri: 'Isu Amanat Hadi harus dihentikan'

HASLINA KAMALUDIN
19 Disember 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SHAH ALAM – Sambil menyifatkan isu Amanat Haji Hadi sebagai "kisah lama", bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

“Ini perkara lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.

Katanya, perkara sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu.
“Pas sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk Umno.

“Jadi, ahli parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,” katanya.

Menurutnya, penggabungan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.

“Jika dapat dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu, bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.
Tambah Asri, isu lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.
“Seharusnya ia dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup buku lama.

“Semua pihak perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Friday, March 30, 2012

Wacana: Rasuah politik tidak bermusim

Wartawan Sinar Harian
30 Mac 2012
Wacana Sinar Harian ke-12 bertajuk "Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti"
SHAH ALAM - Rasuah politik memang wujud dan ia wujud bukan hanya semasa pilihan raya sahaja.

Parti pemerintah terutamanya, memang menjanjikan sesuatu ganjaran kepada rakyat, termasuk projek pembangunan bagi terus mendapat sokongan.

Soalnya, apakah itu juga boleh dianggap rasuah politik?

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, pembangkang sering menuduh kerajaan rasuah apabila menjanjikan projek pembangunan kepada rakyat.

“Sedangkan itu tanggung jawab kita sebagai pemerintah," kata wakil rakyat kawasan Kota Belud ini.

Namun katanya, mereka sendiri sering terlupa turut menjanjikan ‘bulan dan bintang’ untuk meraih undi.

“Kita janji apa yang kita mampu tetapi janji mereka, mereka sendiri pun tak dapat nak tunaikan,” katanya lagi ketika hadir sebagai ahli panel Wacana Sinar Harian ke-12, bertajuk Rasuah Politik: Persepsi atau Realiti di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Selain Abdul Rahman, turut sama berhujah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull; tokoh akademik dan hak asasi terkemuka, Dr Chandra Muzaffar dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Wacana dipengerusikan pensyarah­ Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.

Ketika menjelaskan definisi tajuk bagi dirinya, Rafizi mengakui rasuah politik satu amalan membabitkan mereka yang berkuasa memberikan janji untuk mendapatkan sokongan agar keputusan pilihan raya memberi kelebihan kepada mereka.

“Di Malaysia, rasuah berlaku apabila seseorang individu menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Pemahaman rakyat terhadap rasuah politik ialah kuasa disalahgunakan untuk memberikan projek kepada pihak-pihak tertentu dan bon pada pilihan raya,” katanya.

Berlainan pula bagi Chandra yang menegaskan bahawa rasuah politik adalah janji dibuat individu yang mewakili parti politik bagi meraih undi.

Menurutnya, rasuah politik bukan hanya tertumpu di negara ini, tetapi merangkumi seluruh dunia dalam usaha seseorang atau sesuatu kumpulan mencari kuasa sebagai parti pemerintah.

“Rasuah politik melangkaui sempadan kerana ia merangkumi semua pihak termasuk parti kerajaan ataupun pembangkang dan ia tidak tertumpu satu pihak sahaja.

“Jika kita lihat mana-mana pilihan raya, pemimpin setiap parti politik menjanjikan pelbagai imbuhan untuk memancing undi,” katanya.

Namun kata Chandra, rakyat sedia maklum rasuah politik bukanlah parti, sebaliknya sikap individu atau ahli politik itu sendiri dalam usaha meraih kemenangan.

“Ia boleh disifatkan bahawa rasuah jenayah individu,” katanya.

Mohd Shukri mengingatkan orang ramai supaya tidak menyangka buruk atau memusuhi SPRM yang bekerja keras serta bebas mencegah perbuatan rasuah bagi menyelamatkan masyarakat serta negara.

“Semua orang, terutama pemimpin politik janganlah musuhi kami. Kami berjuang menyelamatkan negara. Marilah kita sama-sama selamatkan negara. Janganlah politikkan isu rasuah kerana musuh kita ialah jenayah rasuah,” katanya.

Bagi maksud yang sama, Mohd Shukri berkata, pemimpin BN dan PR perlu menunjukkan persepakatan mereka untuk tidak mempolitikkan isu rasuah sebagaimana dimeterai bersama dalam Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah.

Menurutnya, masalah dihadapi SPRM dalam menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pemimpin politik ialah rasuah dipolitikkan demi kepentingan mereka.

“Isunya kini, jangan hanya bercakap tetapi kita perlu terjemahkan dalam bentuk tindakan.

“Mulai hari ini, dengan persetujuan wakil dua pemimpin daripada BN (Abdul Rahman) dan PR (Rafizi) tidak mempolitikkan rasuah, saya minta ianya terjemahkan dengan tindakan,” katanya.

SPRM: 'Jangan politikkan rasuah'

NURKHAIRINI JUMARI
29 Mac 2012
sprm_shukri-new
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menggesa masyarakat terutamanya pemimpin politik agar tidak mempolitikkan isu berkaitan rasuah bagi membantu badan bebas itu melaksanakan siasatan dengan rapi tanpa gangguan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, pemimpin politik perlu menterjemahkan persepakatan tidak mempolitikkan rasuah yang dimenterai bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas SPRM di Parlimen.

Menurutnya, masalah dan kekangan yang dihadapi oleh SPRM dalam menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pemimpin politik ialah rasuah tersebut dipolitikkan demi kepentingan mereka.

 “Isunya kini, jangan hanya bercakap tetapi kita perlu terjemahkan dalam bentuk tindakan.

“ Mulai hari ini, dengan persetujuan wakil dua pemimpin dari BN (Ahli Parlimen Datuk Rahman Dahlan) dan PR (Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli) tidak mempolitikkan rasuah, saya minta ianya terjemahkan dengan tindakan,” katanya dalam Siri Wacana Sinar Harian ke-12 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Menurutnya , SPRM memohon kerjasama daripada masyarakat dan pemimpin agar membuat laporan dan member i maklumat berkaitan rasuah secara senyap serta tidak menghebahkan kepada pihak lain dan juga media.

Katanya, tindakan menghebohkan yang menjadi trend pemimpin politik pada masa ini akan mengganggu siasatan di mana kes ini sudah bocor di peringkat awal.

“Apabila hendak membuat laporan kepada SPRM sudah hebah di blog, bawa rombongan ke SPRM dan juga jemput media, perkara ini sudah heboh.

“Tindakan sebegini akan menyukarkan siasatan SPRM, bukti akan hilang, dokumen akan dimusnahkan dan saksi akan bersepakatan tidak beri kerjasama,” katanya.

Beliau memberitahu, rasuah bukan seperti jenayah biasa di mana jenayah ini memberi keuntungan kepada kedua- dua pihak.

“Jika laporan dibuat dihebohkan, mereka yang menerima dan memberi rasuah kedua- duanya mendapat untung. Satu pihak dapat duit, satu pihak dapat projek di mana di antara mereka ini adalah rakan karib, ada tali persaudaraan dan rakan parti politik.

“Masalah SPRM dalam mendapatkan keterangan saksi, jika masa melaporkan kepada SPRM sudah heboh, saksi yang dipanggil tiada elemen ‘surprise’ dan sukar beri kerjasama,” katanya.

Malah menurut beliau, pemimpin politik boleh menghebahkan kepada umum jika SPRM mendapati ada bukti terdapat kes rasuah dalam laporan yang dibuat secara senyap itu.

“Jika SPRM sudah siasat, sudah ada bukti, selepas itu anda nak heboh, hebohkanlah. Tidak ada masalah,” katanya.

Mengulas mengenai persepsi ‘ikan bilis dikejar, ikan jerung dilepaskan’ dalam siasatan SPRM, Mohd Shukri berkata, sejarah membuktikan bahawa pemimpin politik di Malaysia paling ramai didakwa kerana rasuah berbanding negara-negara lain.

“Badan bebas ini sudah mengambil tindakan pada ahli politik yang terlibat dalam rasuah sejak tahun 60-an lagi.

“Tiada isu ‘ikan bilis dikejar, jerung dilepas’ kerana SPRM mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memberi dan menerima rasuah. Kita tangkap berdasarkan bukti bukan sentimen,” katanya.

Mohd Shukri berkata, persepsi masyarakat yang mengatakan SPRM tidak melakukan siasatan kerana mereka mengandaikan SPRM tidak buat kerja jika dakwaan kes rasuah dihebahkan itu tidak di bawa ke mahkamah.

“Dalam hal ini masyarakat perlu jelas, SPRM siasat semua kes yang dilaporkan, banyak kes yang disiasat tetapi di peringkat pendakwaan mengatakan tidak cukup bukti,” katanya.

Wednesday, March 21, 2012

'Umat Islam-Yahudi boleh berurusan, tapi syaratnya...'

Wartawan Sinar Harian
21 Mac 2012
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, tidak salah bagi umat Islam untuk berurusan dengan bangsa Yahudi yang tidak bermusuhan dengan Islam.

Mengulas polemik berikutan pandangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa berurusniaga dengan Yahudi dibenarkan tetapi bukan dengan Zionis, Asri berkata, "maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan (dengan) Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar."

Bagaimanapun menurut beliau, pihak yang memerangi Islam, maka "dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya."

Katanya, Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia.

"Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama. Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi," katanya dalam satu kenyataan media.

Jumaat lalu, Abdul Hadi melahirkan pandangan bahawa urusniaga dengan Yahudi dibolehkan tetapi tidak dengan Zionis.

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Hadi diselar Pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa, Datuk Prof Dr Mahmood Zuhdi dengan membuat perbandingan Yahudi sekarang dengan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah SAW adalah tidak tepat dan bermotifkan politik.

Beberapa pemimpin Umno mendakwa Pas sebagai parti politik yang tidak konsisten.

Malah menurut Asri, permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Beliau seterusnya berkata, Nabi Muhammad mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah Huyai.

"Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi. Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit. Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah.

"Bahkan al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab," kata Asri yang kini merupakan felo Pusat Pengajian Islam Oxford.

Tuesday, March 20, 2012

'Saya ada tarikh PRU, tapi tak boleh dedah'

20 Mac 2012
Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak terus berahsia mengenai bila Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dengan meminta semua pihak termasuk media memahami bahawa beliau perlu menyimpan sesetengah maklumat.
Perdana Menteri berkata, melontarkan pertanyaan mengenai tarikh pilihan raya tidak ubah seperti meminta ketua pegawai eksekutif syarikat Coca Cola untuk mendedahkan ramuan minuman ringan terkenal yang menjadi rahsia sejak sekian lama.
"Saya pasti anda semua memahami kenapa saya tidak boleh memberitahu tarikh itu. Meskipun saya tahu, saya tidak boleh mendedahkan perkara itu," katanya pada sesi soal jawab selepas melancarkan Kelab Koresponden Asing Malaysia di sini.
Menurut Najib, beliau sedar bahawa sesetengah agensi berita asing meramalkan pilihan raya umum Malaysia akan diadakan pada Jun.
Menjawab pertanyaan mengenai pentingnya Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga, Najib menegaskan negara memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil bagi mengelakkan Malaysia daripada ketidaktentuan politik.
Perdana Menteri mengakui dalam senario politik semasa, kemenangan majoriti dua pertiga kini memerlukan usaha yang lebih berbanding sebelum ini.
"Tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu. Saya sendiri kini berusaha keras dan jadual kerja saya begitu padat," katanya, sambil menambah kata, ia adalah sesuatu yang perlu dihadapi.
"Kita kini berhadapan dengan situasi yang berbeza dengan kewujudan media sosial, rakyat juga semakin bijak selain maklumat yang mudah diperoleh," katanya.
Menjawab satu pertanyaan, Najib berkata dasar kerajaan kini adalah lebih terangkum dan adil kerana kekayaan negara perlu diagihkan bukan sahaja dalam kalangan rakyat bumiputera tetapi juga kaum-kaum minoriti.
Mengenai lawatannya ke Myanmar pada 26 Mac, Perdana Menteri berkata, lawatan itu akan merapatkan hubungan antara Malaysia dan Myanmar terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. - Bernama

Tuesday, February 21, 2012

Anwar ajak Najib debat isu Palestin

ZULAIKHA ZULKIFLI
21 Februari 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
GOMBAK - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar berdebat dengannya, kali ini berhubung isu rakyat Palestin.

Anwar pernah membuat pelawaan berdebat dengan Najib tahun lalu berhubung dasar kerajaan tetapi tidak menjadi kenyataan.

Ketua Pembangkang ini berharap debat itu boleh diadakan minggu depan susulan sambutan terhadap debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng Sabtu lalu.

Anwar berkata, langkah itu perlu berikutan pelbagai dakwaan yang melibatkan dirinya dengan isu Israel dan pembebasan rakyat Palestin.

Beliau kini berhadapan dengan kontroversi berhubung kenyataannya berkenaan kedudukan Israel dalam konflik Asia Barat dalam satu temu bual dengan Wall Street Journal bulan lalu. Beliau dikecam hebat oleh pesaing politiknya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Anwar menarik balik kenyataan itu akan menerima kunjungan Ketua Umum PKR di ibu negara, pagi ini.

"Saya tak pernah ada hubungan dengan Israel. Siapa sebenarnya yang berurusan dengan kerajaan Israel? Parti mana? Habis, kapal dagang yang berlabuh di Pelabuhan Klang itu milik siapa?

"Mereka kata Anwar ini bermuka-muka, menyokong Israel. Cukuplah dengan penipuan ini. Sekarang giliran rakyat untuk bangkit dan menolak kezaliman. Dan, jika betullah (dakwaan itu), kita debat soal Palestin," katanya pada ceramah Isu Israel dan Penjelasan Anwar di Taman Seri Gombak malam tadi.

Selain itu, Anwar turut memberi jaminan debat antara beliau dan Najib akan diadakan dengan penuh hemah dan hormat selaku pemimpin nombor satu negara itu.

"Lepas debat antara Datuk Chua Soi Lek dengan Lim Guan Eng, minggu depan debat saya dengan Najib pula. 

"Jangan bimbang. Saya akan bersopan dan tetap hormat beliau. Saya beri jaminan, saya akan memastikan debat itu akan berjalan dengan baik sepertimana saya melayan (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Ahmad Shabery Cheek tempoh hari," katanya dengan merujuk kepada debat pada pertengahan tahun 2008 mengenai isu harga minyak.

Susulan debat Soi Lek dan Guan Eng Sabtu lalu, firma kajian pendapat umum Merdeka Center yakin debat melibatkan Najib dan Anwar akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat. Pengarah Eksekutifnya, Ibrahim Suffian berkata, debat antara Soi Lek dan Guan Eng telah memberi lonjakan kepada keperluan bagi debat melibatkan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Tuesday, February 14, 2012

Israel: Nik Aziz gesa Anwar tarik balik kenyaatan

Wartawan Sinar Harian
13 Februari 2012
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menggesa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.
"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.
Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa,  serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.
Kata beliau, negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia.
Oleh itu katanya, wajib bagi umat Islam, bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya.
"Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka Pas menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.
"Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini," katanya.
Sabtu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."
Sehubungan itu kata Abdul Hadi, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali.
Kedua-dua pemimpin Pas ini melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Anwar mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama WSJ baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.
Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.
Petang tadi, PR mengadakan mesyuarat kepimpinan pusat di Petaling Jaya.

Thursday, February 9, 2012

Hasan: Tunjuk bukti saya 'gila meroyan' mahu jadi MB

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
9 Februari 2012
Hasan Ali menyampaikan ceramah sambil ditemani Mohamed Hafiz (kanan) di Dataran Dato' Sheikh Ahmad,
KANGAR - Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mencabar pemimpin parti itu menunjukkan bukti kononnya beliau 'gila meroyan' untuk menjadi Menteri Besar (MB) termasuk rakaman video percakapan jika ada.

Beliau membuat cabaran itu bagi membersihkan namanya yang teruk terjejas setelah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwanya bercita-cita menjadi MB Selangor melalui pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno sejurus Pakatan Rakyat (PR) memenangi lima negeri dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
Menurutnya, isu mengejar pangkat dan jawatan tidak timbul dalam perjuangan politiknya, sebaliknya usaha menyatupadukan umat Islam di negara ini yang menjadi teras utama.

"Saya tuntut pemimpin berkenaan tunjukkan bukti rakaman video dan sebagainya yang boleh menyokong dakwaan kononnya saya gila talak, meroyan hendak jadi MB Selangor selama ini.

"Saya sanggup lepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri dan menjadi Adun Bebas kerana tidak sanggup bersekongkol dengan parasit Pas yang mempunyai agenda peribadi berbanding perjuangan menegakkan syiar Islam," katanya sewaktu menyampaikan Ceramah Perdana Selamatkan Akidah di Dataran Dato' Sheikh Ahmad, malam kelmarin.
Turut hadir bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin.

Hasan berkata, beliau turut terkilan apabila ada ulama Pas yang menuduhnya sombong dan ego sehingga sanggup tidak membuka pintu rumah dan enggan melayan tetamu.

Menurutnya, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kesemua pemimpin dan ulama Pas berkenaan akan dituntutnya di akhirat kelak.

"Sejurus difitnah seorang ulama Pas menuduh saya tidak buka pintu untuk tetamu, isteri saya terus berasa marah dan sedih kerana senario sebenar menunjukkan keadaan sebaliknya.

"Selama ini, saya menghormati ulama dan tidak pernah menghentam mereka walaupun saya dipecat daripada parti. Hari ini, baru saya sedar wajah sebenar segelintir pemimpin Pas yang layak digelar parasit kerana menggunakan parti untuk kepentingan diri," katanya.

Sehubungan itu, Hasan menggesa rakyat Perlis memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) yang didukung Jati dan berharap lebih 100,000 rakyat negeri itu menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang bakal dilancarkan pada 21 Februari ini.

"Kehadiran 5,000 hadirin hari ini yang majoritinya terdiri golongan anak muda adalah bukti jelas Jati mempunyai objektif penubuhan kukuh untuk memperjuangkan syiar Islam dan menyelamatkan akidah umat yang jauh terpesong.

"Kehadiran yang ramai membuktikan usaha pihak tertentu mensabotaj ceramah saya dengan mengoyakkan poster, kain rentang serta menyebarkan 'pembatalan' ceramah menerusi blog tidak berkesan. Ia tidak mampu menghalang niat murni ini semata-mata kerana Allah," katanya.

Tuesday, February 7, 2012

PRU13: Pas sahkan pilih Salahuddin ke Johor

SHAHIZATUL FARHA S ROSLI
7 Februari 2012
Pesuruhjaya-Pas-Johor,-Datuk-Dr-Mahfodz-Mohamed
SENAI – Pas Johor mengesahkan khabar angin bahawa Naib Presidennya, Salahuddin Ayub bakal menyertai persaingan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sambil menekankan, ia sebahagian daripada strategi mereka mahu bertapak di selatan Semenanjung.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, idea itu telah dicadangkan oleh beliau kepada pimpinan pusat agar dapat memberi suntikan ke atas kepimpinan negeri memecahkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

“Memang itu idea saya, kita pilih Salahuddin sebab dia merupakan anak jati Johor dan banyak memberi sumbangan dalam perkembangan politik di negeri ini.

“Malah, dia juga merupakan antara pemimpin tertinggi Pas di peringkat pusat dan dikenali ramai, baik dari kalangan kawan mahupun lawan.

“Tetapi bukan dia saja... kita juga alu-alukan anak kelahiran Johor lain yang juga berada di pusat, misalnya Mazlan Aliman (AJK Pas Pusat),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian Online awal minggu lalu, Salahuddin berkata, beliau akan menjawab teka-teki negeri dan kawasan yang akan ditandinginya akhir bulan ini.

Ketika ditanya sama ada akan keluar dari Kelantan kali ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini hanya berkata: "Itu tunggulah. Bila sampai masa, saya akan adakan sidang media untuk menyatakan di mana saya akan bertanding."

Pengumuman itu akan dibuat dalam beberapa minggu lagi.

Salahuddin mengakui beliau secara peribadi sudah memutuskan kerusi yang hendak ditandingi.

Banyak pihak membuat andaian Parlimen akan dibubarkan bulan ini.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Selain dicalonkan oleh Pas kawasan Kubang Kerian, beliau juga dirisik agar bertanding di bahagian Parlimen Pasir Mas di Kelantan dan Titiwangsa (Wilayah Persekutuan).

Beliau mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti Jun lalu.

Dalam responsnya, Mahdfodz juga berkata, strategi berkenaan menunjukkan komitmen dan kesungguhan kepimpinan Pas untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan mengambil alih kerajaan negeri.

“Saya percaya Umno sekarang dah mula rasa risau dan tergugat kerana bukan calang-calang pemimpin yang akan bertanding di Johor.

“Kita juga sedang memperkukuhkan barisan kepimpinan dan sedang mencari orang mungkin dari kalangan Perkasa, orang-orang kerajaan, tentera dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Mazlan pula berkata, penyertaan Salahuddin bersama kepimpinan Pas Johor dalam PRU13 merupakan tindakan tepat dan bakal mewujudkan persaingan seimbang antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

“Kita amat mengalu-alukan beliau kerana Salahuddin telah sedia dikenali masyarakat setempat di Johor.

“Jika sebelum ini Johor dikenali sebagai kubu kuat BN tapi bagi saya itu, adalah 20 tahun dahulu kerana sekarang sudah wujud peluang yang seimbang kepada PR,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penyertaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dalam PRU13, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan pusat.

“Sama ada bertanding atau tidak, itu bergantung kepada pimpinan pusat, kita hanya akur,” katanya.

Wednesday, February 1, 2012

Hasan Ali tubuh 'Jati', tidak sertai parti politik

31 Januari 2012
Hasan Ali
SHAH ALAM - Bekas ahli Pas Datuk Dr Hasan Ali akan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dinamakan 'Jati' untuk meneruskan agendanya memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan raja-raja Melayu.
"Secara peribadi orang tanya saya nak sertai Umno atau PKR (Parti Keadilan Rakyat)...saya nak katakan, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, saya akan sertai NGO yang namanya Jati," katanya kepada pemberita di sini.
 
Beliau yang ditemui selepas  berceramah di Seksyen 17 malam tadi,turut mengakui masih sayangkan Pas dan mahu membantu parti itu menghapuskan golongan 'parasit' yang cuba merosakkan perjuangan asal Pas.
 
Sejak dipecat dari PAS pada 8 Jan lepas, spekulasi tersebar luas bahawa bekas anggota exco kerajaan negeri Selangor itu akan menyertai Umno.

Mengulas mengenai Jati, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu berkata NGO tersebut akan dilancarkan pada 21 Februari ini.
 
Beliau turut mengajak NGO lain untuk bergabung dengan Jati bagi membentuk 'kuasa ketiga' yang diharapkan dapat mengimbangi kehadiran Barisan Nasional dan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13.
 
Ditanya sama ada kuasa ketiga itu akan menyokong parti memerintah, Hasan berkata perkara tersebut belum diputuskan.

Friday, January 27, 2012

PENYELEWENGAN JAMIL KHIR BAHAROM


 
http://uploadingit.com/file/vi39hc9xvrcpukk5/Dato%20Seri%20Jamil%20Khir%20Baharom.JPGMENJADI pemimpin (baca: Menteri), seseorang itu bukan sahaja perlu bersih tetapi perlu dilihat bersih. Dalam konteks ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang memilih untuk menerima perlantikan menjadi anggota kabinet pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, sepatutnya tahu kehidupan “baru” yang dipilihnya ini.


Tiada siapa tahu apakah Jamil Khir ini menjadi ahli Umno atau tidak, tetapi apabila dia dilantik menjadi Menteri Di JPM oleh Najib, bekas pegawai tentera ini sepatutnya sempat melihat sejarah kerusi yang disandangnya itu adalah kerusi panas yang akhirnya menjunamkan seseorang ke dalam longkang!
 
Pernah berlaku, dakwaan mengaitkan menteri di kedudukan Jamil Khir ini didakwa terlibat dengan penyelewengan dalam pembangunan tanah milik Lembaga Tabung Haji.

Hingga kini, Tabung Haji dikatakan terpaksa membayar sewa bangunan pejabatnya sedangkan tanah yang didirikan bangunan itu adalah milik Tabung Haji.

Mungkin kisah ini sudah dilupakan tetapi beberapa orang menteri yang sejawatan dengan Jamil Khir semuanya pergi seperti kata pepatah “mati tak berkubur”. Tiada siapa mengenang pemergian mereka dari kerusi menteri, lantas daki yang mereka tinggalkan, kini nampaknya melekat di tubuh badan Jamil Khir.

Laporan Audit yang mengatakan sejumlah RM63,650 digunakan untuk mendahulukan bayaran kos guaman adalah wang zakat, cukup menyedihkan. Kos guaman zakat bukan termasuk dalam asnaf yang dibenarkan untuk mendapat hak dari wang zakat.

Jamil Khir dan mereka yang sibuk mempertahankan isu ini, usah berlagak pandai.
Penggunaan wang ini adalah salah. Bila salah, ia tetap salah walaupun kini ia sudah dibayar semula selepas menerima geran kerajaan.

Amatlah malang jika Jamil Khir yang sering muncul di kaca tv sebelum menjadi menteri kerana menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam tidak dapat membezakan penyalahgunaan wang zakat dengan isu sudah diganti balik.

Sejarah Umno membuktikan, mereka yang duduk di kerusi menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama ini digelar sebagai “menteri nikah kahwin”.

Dalam filem Musang Berjanggut lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, menteri yang terkurung dalam tong dan digelar musang berjanggut ialah Menteri Nikah Kahwin.

Buat pertama kali dalam sejarah Umno, seorang menteri yang dihantar balik ke negeri dan hanya dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri adalah dari kalangan Menteri Nikah Kahwin.

Ini menunjukkan pemimpin Umno yang juga Perdana Menteri tidak mempunyai cukup kepercayaan kepada seorang menteri yang dilantik menjaga hal ehwal agama Islam di negara ini.

Boleh dikatakan, mereka yang dilantik menjadi Menteri Di JPM, yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama Islam dilantik dari kalangan Senator.

Maknanya, tiada seorang pun di kalangan ketua Umno bahagian dalam Umno yang bertanding dalam pilihan raya, apabila menang, dilantik menjadi menteri menjaga hal ehwal agama kecuali seketika, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di tempat itu.

Apakah Umno tidak pernah mempunyai pemimpin yang berlatar belakangkan agama? Atau, Umno memang tidak mempunyai kepercayaan kepada mereka yang berkelulusan bidang agama menjadi ketua bahagian dan dipilih bertanding dalam pilihan raya di peringkat Parlimen?

Ada Menteri Di JPM ketika berkhutbah di Masjid Negara, diboo para jemaah kerana menggunakan mimbar untuk bercakap isu politik ketika itu. Semua ini berlaku ke atas seseorang yang memegang jawatan Menteri Di JPM yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam.

Hari ini, timbul cerita Jamil Khir buat rumah besar dan sudah dinafikannya. Timbul juga cerita duit zakat digunakan untuk mencetak buku-buku untuk tujuan mempertahankan satu-satu pihak yang lebih kepada propaganda Umno.

Apa yang menarik, Jamil Khir sebagai Menteri Di JPM tentunya bercita-cita bertanding dalam pilihan raya. Kebetulan dia adalah orang Kedah dan banyak juga program yang disusunnya di kawasan kelahirannya, Yan.

Timbalan Menteri Di JPM, yang bekerja di bawah Jamil Khir ialah Dato’ Dr Mashitah Ibrahim juga orang Kedah dan pernah menjadi Ahli Parlimen Baling.

Kedua-dua menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam ini adalah Senator.

Jika mereka terpilih bertanding, dari segi sejarah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, belum tentu mereka akan dilantik semula ke jawatan yang sama walaupun mereka menang pilihan raya.

Ada seorang Menteri Di JPM apabila diberi peluang bertanding di Parlimen Parit Buntar, ditakdirkan menang, dia hanya dilantik menjadi Pengerusi MARA.
Ada seorang Menteri Di JPM, diberi peluang bertanding di Parlimen Besut, bila menang, dia hanya dilantik menjadi Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.

Jadi, janganlah sesiapa terkejut andai Jamil Khir, jika diletak bertanding di Parlimen Yan, jika menang sekali pun tidak dilantik untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya sebelum pilihan raya.

Dr Mashitah Ibrahim sendiri pernah menang bertanding di Parlimen Baling dan kemudian dilantik menjadi Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, kemudiannya digugurkan dari menjadi calon tetapi selepas pilihan raya dilantik menjadi Timbalan Menteri Di JPM melalui tiket Senator.

Atas catatan sejarah Umno ini, ramai yang melihat Jamil Khir seolah-olah mahu “memungah” apa yang ada sebelum dia mengulangi nasib senior-seniornya, terpilih bertanding tetapi belum tentu menang. Dan jika menang pun, belum tentu dapat semula kerusi yang sedang disandangnya sekarang.

Itulah sebabnya, sebagai bekas seorang pegawai tentera, Jamil Khir harus lebih berdisiplin. Jangan dia jadi seperti orang Umno yang lain, bila dapat kerusi menteri, menerima derma RM100,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi untuk melaksanakan program di kawasan sendiri.

Jamil Khir yang membenarkan dirinya dilihat sebagai salah seorang yang tidak bersih dan tidak berdisiplin walaupun datang dari latar belakang pasukan beruniform.

Jika Jamil Khir dilihat lebih teruk dari mereka yang berlatar belakangkan parti politik, akhirnya timbul persepsi bahawa menteri yang ada ini memang sering terlibat dengan penyelewengan.

Bolehkah sesiapa yang mencuri terlepas dari dakwaan dan hukuman jika dia memulangkan semula barang yang dicurinya? Bolehkah sesiapa yang telah menyalah gunakan wang pejabat, mengembalikannya semula apabila penyalagunaannya itu terdedah?

Bolehkah sesiapa yang terlibat dalam politik wang ketika pemilihan Umno, dimaafkan apabila mereka mengutip semula wang yang sudah diberikan kepada perwakilan sebagai tanda dia sudah insaf, dilepaskan dari tindakan disiplin dan hukuman?

Umno sedang memperlihatkan satu aksi yang cukup meloyakan dan penyelewengan nampaknya boleh ditutup dengan “bayar balik” setelah ditimbulkan dalam Laporan Audit Negara.

Monday, January 16, 2012

Hukum Dedahkan Kesalahan Pemimpin

Hukum Mendedahkan Kesalahan Pemimpin

Hukum mengumpat

Mengumpat ialah mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian.

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.

Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.

Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[1] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak. Kesimpulannya adalah seperti berikut

1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.

2. Perbuatan mengumpat itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"

4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan

Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah UMNO pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:

1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin UMNO pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih UMNO sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin UNMO didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله
فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru, maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan UMNO pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:

وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telah pun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.

Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.
3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup
Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran iaitu membiarkan kuasa penentu adalah ditangan manusia dan bukannya Islam.
Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada insan lain atau rakyat seperti berzina dan minum arak, maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak." (Hadis riwayat Muslim)

Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan,

pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua , orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

[1] Nas Al-Imam Al-Nawawi adalah seperti berikut:
قال الإمام النووي في شرح مسلم باب تحريم الغيبة:

"والغيبة ذكر الانسان في غيبته بما يكره واصل البهت أن يقال له الباطل في وجهه وهما حرامان لكن تباح الغيبة لغرض شرعي وذلك لستة أسباب

أحدها التظلم فيجوز للمظلوم أن يتظلم الي السلطان والقاضي وغيرهما ممن له ولاية أو قدرة علي انصافه من ظالمه فيقول ظلمني فلان أو فعل بي كذا

الثاني الاستغاثة على تغيير المنكر ورد العاصي إلى الصواب فيقول لمن يرجو قدرته فلان يعمل كذا فازجره عنه ونحو ذلك

الثالث الاستفتاء بأن يقول للمفتي ظلمني فلان أو أبي أو أخي أو زوجي بكذا فهل له ذلك وما طريقي في الخلاص منه ودفع ظلمه عني ونحو ذلك فهذا جائز للحاجة والاجود أن يقول في رجل أو زوج أو والد وولد كان من أمره كذا ومع ذلك فالتعيين جائز لحديث هند وقولها أن أبا سفيان رجل شحيح

الرابع تحذير المسلمين من الشر وذلك من وجوه
· منها جرح المجروحين من الرواة والشهود والمصنفين وذلك جائز بالاجماع بل واجب صونا للشريعة
· ومنها الاخبار بعيبه عند المشاورة في مواصلته
· ومنها اذا رأيت من يشتري شيئا معيبا أو عبدا سارقا أو زانيا أو شاربا أو نحو ذلك تذكره للمشتري اذا لم يعلمه نصيحة لا بقصد الايذاء والافساد
· ومنها اذا رأيت متفقها يتردد إلى فاسق أو مبتدع يأخذ عنه علما وخفت عليه ضرره فعليك نصيحته ببيان حاله قاصدا النصيحة
· ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة

الخامس أن يكون مجاهرا بفسقه أو بدعته كالخمر ومصادرة الناس وجباية المكوس وتولي الامور الباطلة فيجوز ذكره بما يجاهر به ولا يجوز بغيره الا بسبب آخر

السادس التعريف فاذا كان معروفا بلقب كالاعمش والاعرج والازرق والقصير والاعمى والاقطع ونحوها جاز تعريفه به ويحرم ذكره به تنقصا ولو أمكن التعريف بغيره كان أولى والله اعلم"

Thursday, January 12, 2012

Abdul Hadi juga patut dipecat?

KOTA BHARU 11 Jan. - Majlis Syura Pas yang diketuai oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memecat presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, Abdul Hadi telah datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk membincangkan perkara tersebut dan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan bagaimanapun berkata, rancangan itu tidak menjadi kenyataan kerana ditentang oleh Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain dalam Pas.
"Abdul Hadi bersetuju untuk tubuh kerajaan perpaduan. Saya tahu kerana pada ketika itu saya adalah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, malah saya terlibat secara langsung bertemu dengan beberapa pemimpin Pas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
"Kalau bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat maka Nik Abdul Aziz sewajarnya memecat Abdul Hadi kerana membelakangi parti. Nik Abdul Aziz adalah Mursyidul Am Pas yang mengetuai Majlis Syura dan kedudukannya lebih tinggi daripada Abdul Hadi.
"Sebab itu saya melihat tindakan Pas pecat Hasan tidak mengikut syariat tetapi mengikut kepentingan parti selepas ditekan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi di Politeknik Kota Bharu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pas memecat Hasan kerana mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar parti itu.
Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila dia bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.
Hasan menjadi tumpuan lagi apabila mempertikaikan perubahan dasar perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.
Kelantangan Hasan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam telah mengundang rasa tidak senang DAP serta beberapa pemimpin tertinggi PKR sehingga ada yang menganggap beliau sebagai 'duri dalam daging' kepada pakatan pembangkang.
Hasan sekali lagi menjadi perhatian apabila tidak menyokong perhimpunan Bebaskan Anwar 901 kelmarin dan menyarankan orang ramai khususnya mahasiswa tidak menyertainya.
Kenyataan tersebut mengundang kemarahan PKR selaku penganjur perhimpunan sehingga Timbalan Presidennya, Azmin Ali menggesa Pas mengambil tindakan terhadap Hasan.
Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, Hasan perlu dipertahankan supaya beliau dapat meneruskan agenda menegakkan Islam, Melayu dan mempertahankan institusi kesultanan Melayu.
"Pas pecat Hasan kerana perbuatan mencegah nahi mungkar. Orang macam Hasan patut dipertahankan bukannya terus pecat serta merta, tetapi disebabkan DAP dan PKR, Hasan dipecat.
"Pas adalah parti 'remote control'. Pas tidak perjuangkan Islam, disebabkan itu Nik Abdul Aziz buat keputusan pecat Hasan. Bohong kalau dia letak Islam di depan," katanya.