Saturday, February 25, 2012

Pas, NGO demo bantah tentera AS bakar al-Quran

AHMAD ISMADI ISMAIL
24 Februari 2012
demo Pas as
KUALA LUMPUR – Pemuda Pas dan beberapa ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini mengutarakan bantahan dan mengutuk  tindakan kejam tentera Amerika Syarikat (AS) yang membuang dan membakar bahan bacaan Islam termasuk beberapa naskhah al-Quran dari perpustakaan penjara di Pengkalan Udara Afganistan, Isnin lalu.
Sejurus selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, kira- kira 200 orang berarak sepanjang 400 meter dan berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini untuk mengatakan bantahan terhadap perbuatan terkutuk itu.
Setibanya kumpulan itu ke kedutaan negara terbabit di Jalan Tun Razak kira-kira jam 3.00 petang, Ketua Penerangan Pas, Riduan Mohd Nor dan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan kelihatan memasuki kedutaan itu untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada wakil duta AS.
Nasrudin berkata, memorandum itu antaranya mendesak Presiden AS, Barack Obama mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota tenteranya yang bertanggungjawab membakar  al-Quran.
"Walapun Presiden AS telah memohon maaf, namun kami mendesak tindakan sewajarnya harus diambil ke atas anggota tentera yang terlibat," katanya.
Beliau berkata, tindakan tentera AS di Afghanistan itu cuba menimbulkan sentimen permusuhan terhadap umat Islam dan secara tidak langsung menimbulkan suasana tidak kondusif di negara Islam amnya.
"Barack Obama dilihat tidak serius dalam memulihkan hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di AS, alasan dangkal kerajaan itu bahawa perlembagaan negaranya mengamalkan konsep kebebasan bersuara adalah jauh menyimpang dari penafsiran konsep kebebasan itu sendiri," katanya.
Nasarudin berkata, pada 2010, sebuah gereja di Florida telah mencetus kemarahan umat Islam apabila merancang untuk membakar al-Quran pada ulang tahun kesembilan peristiwa 11 September di New York dan Washington.
"Kerajaan AS harus mengambil berat isu yang diutarakan ini kerana umat Islam di seluruh dunia ada had dan tahap kesabarannya, al-Quran adalah kitab suci dan panduan hidup bagi umat Islam," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Akram Ikrami berkata, umat Islam harus menghayati dan mempertahankan al-Quran berhubung isu yang berbangkit ini.
"Seluruh umat Islam harus menghayati isi kandungan al-Quran sebagai panduan untuk bertemu dengan ALLAH SWT, kita juga harus mempertahakan al-Quran walaupun terdapat pelbagai ideologi politik
Sejurus kontroversi tersebut, pasukan tentera AS, Nato dan Obama mengambil tindakan segera untuk memohon maaf atas tindakan mereka membuang dan membakar beberapa naskhah al-Quran

No comments: