Friday, November 23, 2012

Masuk BN jika mahu jadi PM

Wartawan Sinar Harian
23 November 2012
Razali-Idris
$entry.content.caption.value
KUALA TERENGGANU – Pas perlu menyertai Barisan Nasional (BN) jika mahu memastikan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya menjawat jawatan Perdana Menteri.
Naib Ketua Umno Bahagian Marang, Datuk Razali Idris berkata, gabungan Pas dalam BN akan membantu menambahkan majoriti Melayu dalam Umno, sekali gus akan memungkinkan Presiden Pas untuk menjadi ketua tadbir negara.

Menurutnya, Umno sudah tentu bersikap terbuka dan beliau yakin pimpinan parti itu juga akan menerima pemimpin Pas untuk memerintah negara, sekali gus lebih memartabatkan agenda Islam serta pelaksanaan Islam.
“Sekarang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah pemimpin Umno. Kalau Pas bergabung dalam BN, sudah tentu ia boleh dibincang. Mungkin pemimpin Umno jadi Perdana Menteri dan pemimpin Pas jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kecelaruan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung siapa yang layak menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Razali berkata, Pas di peringkat bawah menginginkan Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri kerana mereka tidak sedar bahawa pimpinan PR di peringkat Pusat termasuk pimpinan Pas sebenarnya sudah pun mengetahui bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diangkat menyandang jawatan tersebut.
Beliau percaya, kepimpinan Pas tidak memaklumkan perkara itu kepada peringkat bawahan termasuk sayap partinya sendiri seperti Dewan Ulama Pas yang membangkitkan perkara itu dalam muktamar baru-baru ini.
“Apa yang ditimbulkan dalam muktamar itu seolah-olah mereka tidak tahu mengenai perkara itu, dan ini menunjukkan pimpinan Pas tidak memaklumkan kepada ahli parti mereka sendiri.

“Jadi, apabila perkara itu ditegaskan oleh Dewan Ulama Pas, terbongkarlah bahawa kepimpinan atasan Pas tidak pernah memberitahu ahli peringkat bawahan mengenai Anwar yang bakal menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Abdul Hadi juga telah kalah dari sudut pemilihan sebagai Perdana Menteri apabila PKR dan DAP masing-masing mengangkat Anwar untuk menyandang jawatan tersebut, termasuk di kalangan ahli Pas sendiri khususnya dari kalangan
Anwarinas.
Beliau percaya, keadaan itu juga mendorong Abdul Hadi bersuara untuk tidak bertanding dengan alasan sudah terlalu lama menjadi wakil rakyat, selain menyatakan untuk menjadi khadam jika Islam menang.

Tuesday, November 20, 2012

Hentikan spekulasi isu doa, kata adik Nik Aziz

Wartawan Sinar Harian
20 November 2012
Nik Razi Nik Mat
Nik Razi Nik Mat
KOTA BHARU - Adik Mursyidul Am Pas, Nik Razi Nik Mat di sini, semalam meminta semua pihak menghentikan spekulasi isu doa yang dibacakan selepas solat hajat sempena muktamar parti itu, Jumaat lalu.
Menurutnya, isu tersebut sudah berada di kemuncaknya dan tiada apa yang perlu diperkatakan lagi.

“Sudah cukup apa yang dilaporkan oleh media mengenai bacaan doa terbabit dan saya mengakui saya membacanya tanpa dipengaruhi sesiapa pun.

“Memang saya diarahkan menjadi imam dan bukan untuk doa itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Pada Jumaat lalu, Nik Razi didakwa mendoakan kehancuran terhadap Umno dan Barisan Nasional ketika solat Hajat sempena Muktamar Pas ke-58 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed mengesahkan kandungan doa tersebut bukan atas arahan sesiapa, tetapi atas inisiatif Nik Razi sendiri.
Menurutnya, beliau berada sama ketika solat Hajat yang dihadiri lebih 40,000 orang.