Beliau berkata, amalan berbai'ah dalam Pas juga dilaksanakan berdasarkan kepada al-Quran dan hadis dan berteraskan ketaatan kepada Islam dan kesetiaan kepada pemimpin yang memperjuangkan Islam.
Dipetik Harakahdaily hari ini, Harun berkata, perkara itu dapat dilihat melalui firman ALLAH s.w.t sepertimana yang terkandung dalam al-Quran.
Oleh itu kata beliau, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada ALLAH, maka ALLAH akan memberi kepadanya pahala yang besar.
Harun juga berkata, para sahabat juga berbai'ah kepada Rasulullah sepertimana yang tercatat dalam hadis nabi dan diriwayatkan dalam sirah nabawiyyah.
Justeru menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir ini lagi, apa yang dilakukan oleh Pas dalam isu ba'iah adalah selari dengan tuntutan Islam dalam usaha untuk menegakkan agama ALLAH s.w.t di atas muka bumi ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sumpah bai'ah di kalangan calon Pas adalah menjurus kepada kepentingan politik parti itu semata-mata sedangkan dalam Islam bai'ah adalah janji untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab.
Katanya, bai'ah memang ada dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan.
"Saya rasa bai'ah (ini atas dasar) nak jadi calon, atas rasa kebimbangan lompat parti dan sebagainya. Adakah kita mempunyai barisan Yang Berhormat yang
tidak kita yakini dia punya perjuangan dan sebagainya.
"Kenapa bai'ah ini skop nak jadi calon sahaja kerana pada zaman Rasullah dan para sahabat kita lihat bai'ah diberi kepada kepimpinan tapi hari ini bai'ah
kepada bakal-bakal calon.
"Ini satu tanda tanya kepada masyarakat umum dan masyarakat ramai," katanya.
Selasa lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor berkata, setiap calon partinya yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai'ah, satu
bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah.
Menurut Abdul Hadi, bagi menentukan calon tidak menyeleweng daripada dasar Islam, cara dan matlamatnya.