Wednesday, December 19, 2012

Abby akan bantu kempen PRU13

Wartawan Sinar Harian
19 Disember 2012
Abby Abadi
Abby Abadi
KANGAR - Bekas pelakon popular drama bersiri Gerak Khas, Abby Abadi berjanji akan membantu calon Pas berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Saya sanggup turun bersama Muslimat Pas sebagai perayu undi di seluruh pelosok negara pada PRU13 nanti.

“Kami cukup bersedia untuk sama-sama menggempur pihak lawan pada kempen pilihan raya nanti untuk merayu undi,” katanya ketika menyertai perhimpunan kebangkitan rakyat peringkat negeri di dataran Kompleks Pas Perlis di Jalan Kampung Pondok di sini, malam kelmarin.

Kira-kira 4,000 ahli Pas dan PR menghadiri program itu.

Abby atau nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan berkata, beberapa rakan artis lain akan bersamanya tidak lama lagi untuk memberi sokongan kepada PR.

Sungguhpun mengakui dirinya adalah dari keluarga penyokong Barisan Nasional (BN) bahkan ayah dan ibunya ialah orang Umno tetapi hatinya lebih terbuka untuk memilih Pas kerana ada hikmah  di sebaliknya.

“Saya ingin membina rumah di syurga,” katanya sambil menyifatkan dirinya begitu tenang setelah menyertai Pas.
Abby menyifatkan penyertaannya dalam Pas sebagai jihad dalam kehidupannya setelah meninggalkan dunia lakonan.

“Saya rasa begitu bahagia sebagai seorang Muslimah yang akan meneruskan perjuangan mencari kebenaran dan keadilan bersama parti pilihan,” katanya.

Asri: 'Isu Amanat Hadi harus dihentikan'

HASLINA KAMALUDIN
19 Disember 2012
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
SHAH ALAM – Sambil menyifatkan isu Amanat Haji Hadi sebagai "kisah lama", bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

“Ini perkara lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.

Katanya, perkara sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu.
“Pas sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk Umno.

“Jadi, ahli parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,” katanya.

Menurutnya, penggabungan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.

“Jika dapat dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu, bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.
Tambah Asri, isu lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.
“Seharusnya ia dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup buku lama.

“Semua pihak perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan lagi,” katanya.