Showing posts with label Anwar. Show all posts
Showing posts with label Anwar. Show all posts

Friday, March 30, 2012

PKR: Tiada ruang boleh cabar status Anwar

Wartawan Sinar Harian
30 Mac 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - PKR menyifatkan pesaing politik parti itu tidak ada asas perundangan untuk membawa usul mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang atas alasan moral, sebaliknya melihat usaha sedemikian hanya satu "sandiwara politik" mahu meneruskan serangan peribadi ke atas beliau.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya tidak melihat adanya apa-apa ruang bagi pihak terbabit boleh membawa usul sedemikian ke Parlimen.
"Dari segi undang-undang, memang tidak ada sebarang peruntukan untuk membawa usul ini, kecuali apa yang didakwa itu ada berkaitan dengan Peraturan Mesyuarat dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen... melainkan di Amerika, kita tahu ada klausa untuk 'impeachment'.
"Memang, Datuk Seri Anwar pernah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tetapi (dakwaan) yang dikatakan oleh (Senator Datuk K.S.) Nallakruppan dan kawannya bukan berkaitan tindakan menghina Dewan Rakyat atau bercanggah dengan peraturan Parlimen," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Dalam laporan Bernama semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Wan Jaafar dipetik berkata, usul untuk mencabar kelayakan Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang didakwa diselubungi pelbagai isu moral boleh dibawa pada sidang Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.
Beliau berkata, sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolekan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.
Bagaimanapun kata beliau, terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, anggota Dewan Rakyat berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, "tiada undang-undang khusus. Ini seratus peratus permainan politik mereka."
"Ini hanya sebahagian daripada sandiwara supaya siri serangan mereka terus keluar dalam dada-dada akhbar mereka," katanya lagi sambil berkata, "soal moral bukan perkara untuk dibawa ke Parlimen.
"Kemungkinan mereka boleh bawa, tetapi saya yakin Yang Dipertua pasti akan menolaknya," kata beliau lagi.
Sehubungan itu kata Rafizi, jika Parlimen mahu membincangkan usul-usul sedemikian, "saya fikir sebahagian besar masa akan dihabiskan untuk perkara-perkara seperti itu."
"Kalau kita hendak cakap soal moral, saya fikir ada lagi ramai anggota Dewan Rakyat yang perlu dikenakan usul moral.
"Dan, saya fikir, jika Parlimen terima usul seperti itu, ia akan menyediakan rujukan atau contoh tidak baik... ia akan ada implikasi yang besar, di mana pembangkang akan membawa usul-usul sedemikian kelak.
"Mereka yang bercakap mengenai usul seperti ini tidak fikir dengan mendalam implikasi jangka panjang," kata Rafizi lagi.

Ketua Pembangkang: Status Anwar boleh dicabar

29 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Usul untuk mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang yang didakwa diselubungi pelbagai isu moral boleh dibawa pada persidangan Dewan Rakyat, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Wan Jaafar.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.

Beliau berkata sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolekan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.

"Namun ianya tetap perlu dibahas di dewan terlebih dahulu. Kita berpandu kepada tiga perkara iaitu peraturan, undang-undang dan Perlembagaan...tidak ada satu pun dari tiga elemen itu yang memberi ruang dan peluang seseorang boleh membuatkan satu usul dalam dewan untuk membuat satu impeachment terhadap seseorang.

"Terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Kulim/Bandar Bharu Datuk Zulkifli Noordin semalam yang berkata anggota Parlimen berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.

Kenyataan itu turut disokong Pesuruhjaya Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah bahawa usul itu boleh dilakukan kerana jawatan Ketua Pembangkang yang disandang Anwar merupakan jawatan rasmi dan beliau memainkan peranan mustahak dalam sistem berparlimen.

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula percaya jika dibahaskan, usul 'impeachment' Anwar itu boleh berjaya bersandarkan kekuatan jumlah anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), yang pasti akan turut mendapat sokongan anggota Parlimen Bebas.- Bernama

Wednesday, February 29, 2012

Bangkai ayam di pintu pagar pusat khidmat Anwar


29 Februari 2012
BUTTERWORTH - Bangkai seekor ayam ditemui digantung di pintu pagar pusat khidmat Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya di sini hari ini.

Petugas pusat khidmat itu, Fathilullail Jaafar Sidek berkata beliau menemui bangkai berkenaan pada 10 pagi ini ketika baru sampai di pejabat.  

"Bangkai ayam itu ada kesan darah dan sebelah kakinya dipotong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fathilullail berkata bangkai ayam itu dipercayai diletakkan di situ antara 3 pagi dan 10 pagi ini kerana beliau berada dalam pusat khidmat sehingga pukul 3 pagi tadi.

Beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah. - Bernama

Saturday, February 25, 2012

Anwar hadir Himpunan Hijau 2.0 esok

Wartawan Sinar Harian
24 Februari 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM – Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama PKR akan menghadiri Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan, esok bagi membantah projek nadir bumi Lynas di Gebeng.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Temu Rapat Pimpinan PKR yang dijadualkan berlangsung di Lumut, Perak akan diadakan di Kuantan bagi membolehkan semua pimpinan parti menghadiri perhimpunan itu.

“PKR memberikan sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota PKR di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk bersama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Mahathir ulangi debat Najib-Anwar tak perlu

NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
24 Februari 2012
MAHATHIR
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya bahawa debat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu meskipun ramai berpendapat debat itu harus dijalankan.
Beliau berkata, debat antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang itu hanya membuang masa dan tidak mendatangkan hasil kerana masing-masing akan tetap menegakkan pendirian sendiri.
"Buat apa nak debat, saya tidak rasa masing-masing boleh perbetulkan persepsi masing-masing hasil daripada perdebatan seumpama ini.
"Debat kalau dijalankan, tidak akan dapat mengubah pandangan Anwar mahu Najib. Justeru, tak perlulah nak diteruskan hasrat debat dia tu, biar rakyat buat penilaian sendiri kebolehan kedua-dua mereka," katanya selepas sesi soal jawab pada Program Bicara Minda anjuran Kementerian Belia dan Sukan di sini, hari ini.
Bekas Presiden Umno ini berkata, niat Anwar ingin berdebat untuk isu luar negara dan ekonomi adalah kerana merasakan dirinya lebih arif bercakap mengenai isu berkenaan berbanding soal dalam negara.
"Dia (Anwar) tidak setuju dengan Datuk Seri Najib. Bila bercakap mengenai hal luar negara dan ekonomi, dia merasakan dia dapat buktikan apa Najib buat selama ini adalah salah.
"Saya tahu, Anwar memang nak jadi perdana menteri sejak dari dahulu lagi, malangnya strategi dia buat tu salah. Dia cabar saya dulu, tapi dia gagal," katanya.

Tuesday, February 21, 2012

Anwar ajak Najib debat isu Palestin

ZULAIKHA ZULKIFLI
21 Februari 2012
Datuk Seri Anwar Ibrahim
GOMBAK - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar berdebat dengannya, kali ini berhubung isu rakyat Palestin.

Anwar pernah membuat pelawaan berdebat dengan Najib tahun lalu berhubung dasar kerajaan tetapi tidak menjadi kenyataan.

Ketua Pembangkang ini berharap debat itu boleh diadakan minggu depan susulan sambutan terhadap debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng Sabtu lalu.

Anwar berkata, langkah itu perlu berikutan pelbagai dakwaan yang melibatkan dirinya dengan isu Israel dan pembebasan rakyat Palestin.

Beliau kini berhadapan dengan kontroversi berhubung kenyataannya berkenaan kedudukan Israel dalam konflik Asia Barat dalam satu temu bual dengan Wall Street Journal bulan lalu. Beliau dikecam hebat oleh pesaing politiknya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta Anwar menarik balik kenyataan itu akan menerima kunjungan Ketua Umum PKR di ibu negara, pagi ini.

"Saya tak pernah ada hubungan dengan Israel. Siapa sebenarnya yang berurusan dengan kerajaan Israel? Parti mana? Habis, kapal dagang yang berlabuh di Pelabuhan Klang itu milik siapa?

"Mereka kata Anwar ini bermuka-muka, menyokong Israel. Cukuplah dengan penipuan ini. Sekarang giliran rakyat untuk bangkit dan menolak kezaliman. Dan, jika betullah (dakwaan itu), kita debat soal Palestin," katanya pada ceramah Isu Israel dan Penjelasan Anwar di Taman Seri Gombak malam tadi.

Selain itu, Anwar turut memberi jaminan debat antara beliau dan Najib akan diadakan dengan penuh hemah dan hormat selaku pemimpin nombor satu negara itu.

"Lepas debat antara Datuk Chua Soi Lek dengan Lim Guan Eng, minggu depan debat saya dengan Najib pula. 

"Jangan bimbang. Saya akan bersopan dan tetap hormat beliau. Saya beri jaminan, saya akan memastikan debat itu akan berjalan dengan baik sepertimana saya melayan (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Ahmad Shabery Cheek tempoh hari," katanya dengan merujuk kepada debat pada pertengahan tahun 2008 mengenai isu harga minyak.

Susulan debat Soi Lek dan Guan Eng Sabtu lalu, firma kajian pendapat umum Merdeka Center yakin debat melibatkan Najib dan Anwar akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat. Pengarah Eksekutifnya, Ibrahim Suffian berkata, debat antara Soi Lek dan Guan Eng telah memberi lonjakan kepada keperluan bagi debat melibatkan Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Anwar jumpa esok, Nik Aziz kekal pendirian

G MANIMARAN
20 Februari 2012
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Pertemuan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang sebelum ini disebut-sebut akan diadakan hari ini berhubung kontroversi kenyataan tentang Israel, ditangguhkan sehingga esok.
Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian Online bahawa pertemuan yang dinanti-nantikan itu dijadual akan berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pagi esok.
"Pertemuan akan berlangsung esok, masa belum ditentukan... kemungkinan sebelah pagi. Jadual sedang diatur dengan mengambil kira program dan temu janji yang telah pun diaturkan terlebih dahulu," kata seorang pegawai kanan dari Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Laporan media sebelum ini menyebut pertemuan itu akan diadakan sebelah malam ini.
Nik Abdul Aziz dikatakan berada di ibu negara bagi menghadiri beberapa program rasmi, termasuk akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.
Pegawai Pejabat Anwar juga mengesahkan bahawa berdasarkan maklumat awal pertemuan akan diadakan pagi esok.
"Setakat ini (pagi tadi), saya dimaklumkan pertemuan akan diadakan pagi esok," katanya lagi.
Pegawai Menteri Besar Kelantan menambah, setakat ini pihaknya tiada apa-apa rancangan untuk mengeluarkan kenyataan media.
Dalam pada itu, pegawai kanan Nik Abdul Aziz juga berkata, Menteri Besar Kelantan masih kekal dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syuar Ulama minggu lalu.
Isnin lalu, Nik Abdul Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.
"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau.
Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.
Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa,  serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.
Anwar, dalam kenyataan media dikeluarkan Khamis lalu, berkata PKR yang diketuainya berkongsi hasrat dan pendirian dengan Pas untuk melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.
Sambil menegaskan beliau memahami perbezaan pendirian Pas dan PKR, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini menambah, parti Islam itu berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.
"Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari Pas, Majlis Syura Pas dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.
"Ketetapan Pas yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Anwar.

Saturday, February 18, 2012

Nik Aziz: 'Saya tak mahu dilaga-lagakan'

NORHASRAM MOHAMAD
18 Februari 2012
Nik Abdul bersalaman dengam anggota Pekida pada program Pelancaran Merealisasikan Amar Maaruf Nahi M
KOTA BHARU – Terserah kepada kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjelaskan kepada orang ramai mengenai isu sokongan terhadap Israel, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya akan dengar jawapan daripada dia (Anwar), tapi saya tak akan jawab. Saya serah kepada dia sendiri untuk menjelaskan kerana saya mahu mengelak wartawan melaga-lagakan saya dengan dia.

“Soal dia nak pertahan kenyataan dia menyokong Israel itu dia punya pasal, kenyataan saya sebagai mewakili Pas dan dia mewakili PKR,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Merealisasikan Amar Maaruf Nahi Mungkar Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Negeri Kelantan di sini, semalam.
Mengenai kemungkinan Ketua Pembangkang itu salah faham kenyataan Pas berhubung isu tersebut, katanya, itu tak menjadi masalah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, segalanya akan terjawab apabila beliau berpeluang bertemu Anwar.

“Ahad malam atau pagi Isnin depan saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Raja-Raja. Kalau Anwar dapat bertemu saya di sana, terima kasihlah,” katanya.

Anwar dalam kenyataannya semalam menegaskan tidak berganjak dengan pendiriannya untuk mengiktiraf Israel dengan syarat negara itu berundur dan menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Katanya, walaupun beliau akur perbezaan pendirian antara Pas dan PKR berhubung kezaliman Israel terhadap Palestin, PKR sentiasa berkongsi hasrat dengan Pas untuk melihat Palestin merdeka sepenuhnya.

Anwar berkata, beliau dituduh sebagai ejen Israel oleh media Umno sedangkan Menteri Luar dari Umno secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state-solution) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Thursday, February 16, 2012

Anwar: Teguran Nik Aziz sopan, Umno fitnah

ZULAIKHA ZULKIFLI
16 Februari 2012
Anwar Ibrahim
SUBANG JAYA - Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil menyifatkan teguran Menteri Besar Kelantan itu sebagai "lembut dan sopan."

Anwar berkata, beliau akan bertemu dengan Nik Aziz Isnin depan berikutan jadual kerjanya yang padat.

"Sebelum ini saya di luar negara dan kini baru pulang dari Bangkok (Thailand), Nik Aziz pula di Kelantan. Tetapi isu yang terjadi ini berbeza. Umno memfitnah saya dan padam kenyataan saya yang mengatakan tentang hak rakyat Palestin.

"Nik Aziz tegur saya lembut dan sopan. Beliau mencadangkan kalau saya ada kata, tarik balik, jika tidak, saman," katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan mingguan dan sambutan Maulidur Rasul di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai pertemuan itu.

Sebaliknya kata Anwar, beliau akan mengeluarkan kenyataan media petang ini.
Dalam temu bual dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Januari lalu, Anwar menyatakan sokongan terhadap semua usaha bagi menjaga dan melindungi keselamatan negara Israel.
Bagaimanapun, kelmarin, Nik Aziz menggesa Ketua Pembangkang itu, menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam WSJ bulan lalu.
Justeru, bagi menangkis dakwaan bahawa dirinya menyokong Israel, Anwar berkata, kenyataannya mengenai hak rakyat Palestin telah dipadam.
Beliau turut menegaskan, akan memberitahu mengenai pertemuannya bersama pemimpin Hamas, Khalid Mash’ad ketika kunjungan ke Qatar, dalam kenyataan yang akan diberi petang ini.
"Mereka (Umno) memotong kenyataan saya yang menyebut mengenai hak rakyat Palestin. Sama juga seperti bila Menteri Pertahanan kita berjumpa Menteri Pertahanan Israel, Menteri Luar kita berjumpa Menteri Luar Israel, ada media siarkan? Media takkan laporkan benda itu," katanya.

 

Wednesday, February 15, 2012

Anwar akan jumpa Nik Aziz

Wartawan Sinar Harian
15 Februari 2012
Anwar Ibrahim
SHAH ALAM - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat ini bagi menjawab isu beliau dikatakan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini.
Menurut sumber dalaman PKR, perjumpaan akan dilakukan selepas mesyuarat bersama kepimpinan PKR, hari ini.
 
“Esok kita akan adakan perbincangan bersama kepimpinan PKR, selepas itu baru tentukan bila Datuk Seri Anwar bertemu Tok Guru (Nik Aziz).
 
“Perbincangan yang mendalam akan diadakan bersama Tok Guru bagi menjelaskan isu ini,” katanya.
 
Sebelum itu, Sinar Harian cuba mendapatkan komen pemimpin PKR, Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution yang dihubungi mengatakan PKR masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi perkara itu.
 
“Awak adalah wartawan ke-19 yang menghubungi saya hari ini… saya tiada kenyataan yang boleh saya keluarkan lagi setakat ini,” katanya.
 
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, beliau perlu mendapatkan maklumat yang mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan.
 
Kelmarin, Pas menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim tarik balik kenyataannya menyokong sebarang usaha memastikan keselamatan negara Israel seperti yang disiarkan dalam WSJ, baru-baru ini.

Tuesday, February 14, 2012

Israel: Nik Aziz gesa Anwar tarik balik kenyaatan

Wartawan Sinar Harian
13 Februari 2012
Nik Aziz Nik Mat
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menggesa Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.
"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.
Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa,  serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.
Kata beliau, negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia.
Oleh itu katanya, wajib bagi umat Islam, bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya.
"Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka Pas menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.
"Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini," katanya.
Sabtu lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."
Sehubungan itu kata Abdul Hadi, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali.
Kedua-dua pemimpin Pas ini melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Anwar mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama WSJ baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.
Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.
Petang tadi, PR mengadakan mesyuarat kepimpinan pusat di Petaling Jaya.