HASLINA KAMALUDIN
12 Mac 2012
SHAH ALAM - Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mahu berundur pada 8 April ini mendapat reaksi berbeza dengan Barisan Nasional (BN) menyifatkan ia satu pengorbanan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu manakala Pakatan Rakyat (PR) pula menegaskan, isu sebenar masih belum selesai.
“Peletakan ini adalah langkah pertama tapi bukan yang utama. Isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) masih belum berakhir.
"Tindakan susulan perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan isu ini. Jangan lagi melengah-lengahkan kes ini," Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Mengulas perkembangan terbaru ini, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, salah seorang pemimpin yang mendesak Shahrizat agar meletakkan jawatan berkata, kes ini masih belum berakhir.
“Syabas dan tahniah di atas pengunduran ini. Tapi pada masa sama, kes beliau masih belum berakhir.
"Siasatan lebih menyeluruh perlu dibuat. Isu NFC tidak ada kena-mengena dengan jawatan, seharusnya kerajaan mengambil langkah maksimum untuk menyelesaikan kes ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang.
Rakannya, Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, "terima kasih kerana beliau mengambil langkah yang tepat dan bersesuaian dengan kehendak rakyat."
"Ini mengesahkan pendedahan yang dibuat PKR selama ini ada kebenarannya. Wang rakyat harus dipulangkan. Fokus selepas ini lebih tertumpu kepada tindakan Perdana Menteri untuk membuat keputusan tepat berhubung isu NFC,” kata beliau.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula memberitahu, keputusan mahu berundur tidak melepaskan kerajaan daripada tanggungjawab khususnya peranan Menteri Kewangan dan juga Menteri Pertanian ketika itu.
"Justeru tuntutan supaya sebuah suruhanjaya diraja wajib ditubuhkan untuk menyiasat skandal ini.
"Rakyat berhak mengetahui sama ada penggunaan dana awam sebegini adalah prosedur biasa,” kata Nurul Izzah yang menewaskan Shahrizat di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada Mac 2008.
Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai anggota Dewan Negara tamat 8 April ini.
Bagaimanapun, katanya beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita BN, selepas berfikir dengan panjang lebar bagi meneruskan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menganggap Shahrizat sudah menjadi liabiliti dalam Umno.
"Peletakan jawatan ini sudah pasti keputusan yang amat sukar dibuat. Namun melihat kepada kes NFC, ia wajar dibuat.
"Sudah tidak ada cara lain lagi namun, kes ini harus dijalankan seperti biasa. Yang bersalah perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” kata beliau.
Dalam pada itu, Bernama memetik pemimpin Umno berkata mereka menyambut baik tindakan Shahrizat untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafiee Apdal berkata, langkah yang diambil oleh Ketua Wanita itu baik dan tepat pada masanya demi menjaga kepentingan kerajaan BN dan juga parti.
"Kita sangat menghargai keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ia adalah baik dan tepat pada masanya untuk pastikan kejayan kerajaan dan BN.
"Ini juga tidak ada kaitan dengan dia bersalah atau tidak, tapi semuanya dilakukan adalah demi kepentingan kerajaan dan juga parti," katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Dalam pada itu, Mohd Shafiee meminta agar golongan wanita tidak berasa terjejas dengan pengunduran Shahrizat selaku menteri kerana kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kepentingan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara.
"Saya berharap dengan pengunduran Shahrizat, kaum wanita tidak akan berhenti menyumbang kepada negara. Tidak bermakna tanpa ada kedudukan dalam Kabinet, tidak bererti wanita akan diketepikan.
"Saya yakin Perdana Menteri sentiasa menghargai dan mengiktiraf perjuangan wanita," katanya.
Ketua Penerangan parti, Datuk Ahmad Maslan pula meminta pihak pembangkang supaya tidak membuat kesimpulan mengelirukan berikutan pengumuman pengunduran Shahrizat.
Katanya, tindakan Shahrizat merupakan satu pengorbanan yang wajar kerana beliau telah mendahulukan kepentingan pandangan umum daripada kepentingan awatannya sebagai menteri.
"Shahrizat sudah tentunya telah mengkaji kesan tindakan beliau meletakkan jawatan bagi memudahkan penyiasatan seterusnya dilakukan," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, walaupun kes berkenaan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) masih disiasat, beliau mahu persepsi rakyat diperbetulkan dalam isu berkaitan.
"Kes suami beliau belum dibawa ke mana-mana mahkamah. Kita ada prosedur perundangan dan seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut menyambut baik tindakan Shahrizat dan menyifatkan keputusan itu bukan sesuatu yang mudah.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau akan terus membantu Shahrizat dalam menjalankan tanggungjawabnya memimpin Wanita Umno.
"Saya percaya ia bukan satu keputusan yang mudah untuknya. Saya sokong keputusan itu dan saya akan membantunya untuk terus memimpin Pergerakan Wanita Umno," kata Hishammuddin.