Friday, March 2, 2012

Jawatan No 2: Dr Dzul bidas reaksinya diputar

Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2012
Dr Dzulkefly Ahmad
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad membidas sesetengah pihak khususnya pesaing politik kerana memanipulasi pandangan beliau menyentuh sama ada parti Islam itu sanggup membolehkan bukan Muslim memegang jawatan timbalan presiden.
Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata, beliau kecewa apabila segelintir ahli partinya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri salah faham dan  memporakperandakan minda rakyat demi kepentingan politik.
"Dalam hampir tiga jam perbahasan bersekali dengan sidang akhbarnya yang menghuraikan pelbagai isu di sekitar tajuk wacana, amat malang sekali, ada pihak yang memanipulasi laporan wacana ini dengan sengaja mengenengah dan kini memporakperandakan minda rakyat yang tampaknya bermotifkan politik.
"Paling mutakhir mantan Perdana Menteri juga ‘tumpang semangkuk’ sekali gus dengan lebih jelas membuktikan bagaimana pihak media yang andainya tidak cermat atau juga punyai agenda tertentu, akan terpalit untuk memenangkan sesuatu tumpuan umum dalam memobilisasi pandangan awam.
"Lebih malang lagi apabila saya kesan ada segelintir kecil pihak Pas sendiri yang terpengaruh meminta saya tarik balik kenyataan saya," kata beliau dalam penjelasan terperinci yang disiarkan menerusi blog beliau.
[Sila ikuti kandungan penuh di ruangan entri blog www.sinarharian.com.my]

Katanya, diskusi Wacana ‘Mengapa Undi Melayu Pecah’, yang menurutnya sihat dan informatif, kini telah diheret pihak tertentu secara sengaja atau tidak bagi menonjolkan isu ‘Pas bersedia dipimpin bukan Islam’.
Wakil rakyat penggal pertama ini berhadapan dengan kritikan ekoran reaksinya kepada soalan daripada moderator adalah ‘apakah Pas bersedia untuk melantik timbalan presiden daripada kalangan bukan Islam seperti Ikhwan Muslimin baru-baru ini’.
Dzulkefly berkata beliau menjawab bahawa perkara seperti itu bukan perkara-perkara prinsip yang tetap.
"Dalam (syariat) Islam ada dua perkara kategori (hukum). Satu, perkara ‘Tetap’ yang tidak boleh ubah dikatakan ‘Al-Thawabit’ (tetapi) ini perkara-perkara dalam ruang lingkup ijtihad dan yang dikatakan sebagai ‘Al-Mutaghiyyaraat’.
"Dua perkara ini kita mesti bezakan atas apa susun atur politik itu, semua perkara-perkara yang boleh berubah.
"Pada perkara yang boleh berubah, kita ubah pada waktu dan tuntutannya. Ini perkara... Pas berani berubah! Ada perkara yang tetap tapi ada perkara yang tertakluk kepada perubahan. Jadi, kita boleh bersedia untuk menerima perubahan dan pindaan seperti itu," katanya lagi.
Mengenai persoalan berkaitan jangka masa, Dzulkefly menjawab: "Ha! Jangka waktu itu segalanya tertakluk kepada needs atau keperluan. Ya! Terima kasih."
Dalam penjelasannya, Dzulkefly juga berkata, ketika itu beliau diasak oleh soalan tambahan iaitu "kKeadaan sekarang, needs tu dah...?”
"Jawab saya: Mungkin belum ada needsnya (keperluannya) tapi kalau dah diutarakan, kita akan bincang dan di muktamar, kita putuskan bersama. Pada soalan: “Belum dibawa?”
Jawapan saya: “Belum lagi,” kata beliau lagi.
Dalam kenyataannya kelmarin, Dr Mahathir menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.
Sehubungan itu beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.
“Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.
“Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya.
Semalam, Dewan Pemuda Pas Titiwangsa menggesa Dzulkefly menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

No comments: