Showing posts with label Malaysia. Show all posts
Showing posts with label Malaysia. Show all posts

Thursday, January 12, 2012

PAS melencong perjuangan asal?

Datuk Haron Din,

Datuk, akhir-akhir ini selalu sangat orang memperkatakan bahawa PAS telah melencong daripada perjuangan asalnya. PAS didakwa meninggalkan Islam dan telah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan berubah kepada Negara Berkebajikan. Ini tidak pernah disebut oleh pemimpin PAS terdahulu. Saya keliru kerana diulang-ulang dan disebut oleh media masa, sedangkan yang menyanggahnya jarang kedengaran. Apa pandangan dan nasihat Datuk kepada orang-orang seperti saya supaya teguh berdiri bersama PAS? Terima kasih Datuk.
Penyokong PAS Tegar, Dungun, Terengganu.
PIHAK yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi, adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS.Tugas utama mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburuk-burukkan PAS?
Itulah kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan akhir-akhir ini semakin tergugat. Oleh kerana itu mereka berusaha melemahkan PAS dengan apa cara pun.
Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam.
Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.
Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:
(i) Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):
“Mengeluarkan arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran PAS.”
Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.
Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman.
PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.
Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah.
Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam.
Di dalamn al-Quranul karim tidak terdapat istilah Negara Islam secara jelas dan terang. Yang ada seiras dengannya adalah istilah ‘Baldatun Tayyibah’ sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba’, ada suatu tanda kemurahan Allah yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua bidang kebun yang luas lagi subur yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Lalu dikatakan kepada mereka itu, makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya dan negeri kamu itu adalah negeri yang Tayyibah (Baik atau berkebajikan) dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ ayat 15)
Ketika Presiden PAS membentangkan istilah Negara Berkebajikan dalam muktamar yang lepas (Jun 2011), tidak ada sesiapa pun yang meragui istilah itu dan tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya di dalam muktamar.
Biasanya, jika ada sesuatu yang tidak kena, ahli dalam muktamar PAS akan menimbulkan berbagai pandangan, teguran dan bangkangan. Yang ternyata muktamar telah menerima.
Apabila ini berlaku, maka ianya adalah sesuatu selaras dengan perjuangan PAS.Penyebar-penyebar fitnah ke atas pejuangpejuang Islam, bukan perkara baru, malah sejak dari zaman sahabat Rasulullah s.a.w, yang memperjuangkan Islam pada waktu itu, musuh-musuh Islam dari kalangan musyrikin dan munafikin, telah menyebar fitnah yang lebih besar.
Antaranya dahulu, mereka menyatakan, ‘Muhammad adalah ahli sihir, dia gila, pembawa cerita dongeng, pemecah perpaduan umat Arab, dia menyembah berhala (Kaabah).’ Berbagai-bagai lagi fitnah dilemparkan terhadap Nabi s.a.w dan para sahabat baginda.
Oleh yang demikian, anda tidak harus mengendahkan media-media musuh Islam yang memang itu kerja mereka.
PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang.
Berpandulah kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): “Akan sentiasa wujud di kalangan umatku segolongan orang-orang yang memperjuangkan Islam yang sebenar, tanpa menghirau celaan orang yang suka mencela, sehingga kemenangan yang nyata, berhasil pada akhirnya.” Wallahua’lam.
Artikel di atas dipetik daripada ruangan Bersama Dato' Haron Din yang disiarkan akhbar Harakah Bil. 1704 (8-11 Safar 1433/2-5 Januari 2012)

Abdul Hadi juga patut dipecat?

KOTA BHARU 11 Jan. - Majlis Syura Pas yang diketuai oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memecat presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk membentuk kerajaan perpaduan.
Bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, Abdul Hadi telah datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri untuk membincangkan perkara tersebut dan bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan bagaimanapun berkata, rancangan itu tidak menjadi kenyataan kerana ditentang oleh Nik Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain dalam Pas.
"Abdul Hadi bersetuju untuk tubuh kerajaan perpaduan. Saya tahu kerana pada ketika itu saya adalah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, malah saya terlibat secara langsung bertemu dengan beberapa pemimpin Pas untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
"Kalau bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat maka Nik Abdul Aziz sewajarnya memecat Abdul Hadi kerana membelakangi parti. Nik Abdul Aziz adalah Mursyidul Am Pas yang mengetuai Majlis Syura dan kedudukannya lebih tinggi daripada Abdul Hadi.
"Sebab itu saya melihat tindakan Pas pecat Hasan tidak mengikut syariat tetapi mengikut kepentingan parti selepas ditekan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi di Politeknik Kota Bharu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Pas memecat Hasan kerana mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar parti itu.
Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila dia bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.
Hasan menjadi tumpuan lagi apabila mempertikaikan perubahan dasar perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.
Kelantangan Hasan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam telah mengundang rasa tidak senang DAP serta beberapa pemimpin tertinggi PKR sehingga ada yang menganggap beliau sebagai 'duri dalam daging' kepada pakatan pembangkang.
Hasan sekali lagi menjadi perhatian apabila tidak menyokong perhimpunan Bebaskan Anwar 901 kelmarin dan menyarankan orang ramai khususnya mahasiswa tidak menyertainya.
Kenyataan tersebut mengundang kemarahan PKR selaku penganjur perhimpunan sehingga Timbalan Presidennya, Azmin Ali menggesa Pas mengambil tindakan terhadap Hasan.
Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan berkata, Hasan perlu dipertahankan supaya beliau dapat meneruskan agenda menegakkan Islam, Melayu dan mempertahankan institusi kesultanan Melayu.
"Pas pecat Hasan kerana perbuatan mencegah nahi mungkar. Orang macam Hasan patut dipertahankan bukannya terus pecat serta merta, tetapi disebabkan DAP dan PKR, Hasan dipecat.
"Pas adalah parti 'remote control'. Pas tidak perjuangkan Islam, disebabkan itu Nik Abdul Aziz buat keputusan pecat Hasan. Bohong kalau dia letak Islam di depan," katanya.

Sunday, December 25, 2011

Politik Malaysia kotor – The Jakarta Post


Kebusukan politik Malaysia yang didalangi Umno BN tersebar ke negara jiran
JAKARTA: The Jakarta Post menyifatkan politik di Malaysia, kotor kerana melibatkan seks, media dan video konspirasi yang berterusan.
Kolum editorial akhbar terkenal Indonesia itu memuatkan pandangannya dengan menyentuh siri fitnah terbaru terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa terlibat dengan rakaman video lucah palsu baru-baru ini.
“Minggu lalu media tempatan melaporkan politik kotor terbaru Malaysia (kononnya) melibatkan Anwar Ibrahim dalam video lucah bersama pelacur di hotel.
“Timbul pertanyaan bagaimana ia boleh berlaku sedangkan Anwar berdepan kes sodomi di mahkamah,” kata  editorial itu yang turut menyebut kerajaan mengawal media untuk diperalat bagi merosakkan imej Anwar, sekalipun terpaksa melanggar etika kewartawanan.
“Media Malaysia tidak melaporkan mengenai orang dalam video tetapi menyatakan lelaki itu mirip Anwar bagi menjatuhkan kredibiliti dan integritinya di mata masyarakat.
“Kebenaran dan pengesahan tidak dihirau apabila ia dijadikan alat propaganda,” kata tulisan, sinis.
Editorial akhbar itu turut menyelar tindakan individu yang terlibat dalam penyebaran video itu sebagai pengecut kerana menggunakan media.
“Sumber video tidak didedah, sikap mereka seperti pepatah Melayu ‘lempar batu sembunyi tangan’ kerana tiada sesiapa mahu bertanggungjawab atas penayangan video itu.
“Tetapi media arus perdana melaporkan berita itu daripada sudut pemerhatian mereka,” kata tulisan itu yang menganggap media seperti memberi tekanan kepada Anwar untuk membuat penafian sebagai satub bentuk gangguan sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Media meletakkan tanggungjawab pada Anwar untuk menafikan perkara itu, sesuatu yang kemungkinan akan membuatnya sibuk selama beberapa bulan dan bertahun-tahun, sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Kita pernah menyaksikan kes seumpama ini ketika Anwar dipenjara buat pertama kali tetapi dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Agong membatalkan kes tersebut,” kata tulisan itu lagi.
(Sumber asal: The Jakarta Post)
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9999