RUBIAH OMAR & MOHD AZLIM ZAINURY
28 Ogos 2012
Mohd Hafizudin
tidak mampu menahan kesedihan atas kejadian menimpa ayahnya itu sehingga
tidak dapat hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan percubaan
Sijil Pelajaran Malays
Allias (kiri)
bersama rakannya melakonkan semula keadaan mangsa semasa terkena dua das
tembakan ketika mereka sedang bermain dam di hadapan kedai mangsa.
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga kedai runcit maut selepas terkena
dua das tembakan pada jarak dekat di rusuk kanan belakang dan rusuk kiri
depan oleh tiga lelaki tidak dikenali dalam satu kejadian di Kampung
Bukit Cempedak, Wakaf Tapai, Marang, malam kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa, Mat Keya
Jusoh, 54, sedang bermain dam berhampiran kedainya bersama seorang
rakan, Allias Lemas, 51, sebelum didatangi sebuah kereta jenis Perodua
Viva yang dinaiki tiga suspek.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K
Manoharan, Perodua Viva berwarna putih itu berhenti antara jarak lima
meter sahaja dari tempat mangsa bermain dam sebelum salah seorang
daripada mereka memberitahu ingin mencari ‘Pok Mat’.
“Salah seorang suspek bertanyakan kepada mangsa adakah dia ‘Pok Mat’
dan mangsa yang sememangnya dikenal dengan nama itu dalam kalangan rakan
serta orang kampung mengiakan sahaja.
“Bagaimanapun, hanya beberapa saat selepas mangsa mengaku yang dia
adalah 'Pok Mat', dua das tembakan dilepaskan oleh salah seorang suspek
menyebabkan mangsa terus rebah sebelum mereka memecut kereta
meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.
Manoharan berkata, mangsa yang cedera parah di bahagian rusuk dihantar
penduduk kampung ke Hospital Kuala Berang untuk mendapatkan rawatan
susulan.
“Bagaimanapun, bapa lima anak itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.50 malam,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif pembunuhan.
Katanya, suspek berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun dipercayai lelaki Melayu.
Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana
membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika
disabitkan kesalahan.
"Gurau menda ni.."
"Gurau menda ni..." itulah kata-kata terakhir Allahyarham Mat Keya
sebelum rebah selepas terkena dua das tembakan di hadapan kedai makan
miliknya di Kampung Bukit Chempedak, Pengkalan Berangan, malam kelmarin.
Rakan Allahyarham, Allias berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam
itu, mangsa ditembak dari jarak dekat ketika sedang bermain dam.
“Sebelum kejadian, kami melihat kereta berhenti di sebuah rumah
berdekatan kedai ini tetapi kereta itu hanya berhenti sekejap sahaja di
situ sebelum bergerak semula dan berhenti di hadapan kedai ini.
“Sebaik kereta itu berhenti di hadapan kedai, betul-betul di hadapan
kami, seorang individu tidak dikenali bertanya adakah kami mengenali
‘Pok Mat’ lalu mangsa mengakui dia adalah ‘Pok Mat’ yang dicari,”
katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, penjenayah itu kemudiannya mengundurkan kenderaan sebelum melepaskan dua das tembakan.
Menurutnya, sejurus selepas bunyi tembakan itu dia melihat mangsa
bangun dan memarahi individu berkenaan kerana menganggap ia gurauan
melampau.
“Bagaimanapun, Pok Mat kemudiannya rebah dan ketika memegang mangsa
saya melihat ada kesan darah di bahagian rusuk lalu memaklumkan perkara
itu kepada ahli keluarganya,” katanya.
Sangka bunyi mercun
Sementara itu, isteri mangsa, Sepiah Mamat, 53, berkata, dia juga tidak
menyangka bunyi letupan sebanyak dua kali itu adalah bunyi tembakan
yang meragut nyawa suaminya.
"Ketika kejadian, saya berada di dapur dan sangka bunyi letupan itu
bunyi budak nakal bermain mercun,” katanya yang mempunyai lima anak.
Pemergian ketua keluarga itu bukan sahaja ditangisi Sepiah, tetapi
turut dirasai anak-anak mangsa malah salah seorang anak mangsa, Mohd
Hafizudin, 17, tidak hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan
percubaan Sijil Pelajaran Malaysia, semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan ini
sepatutnya menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu, namun tidak dapat
hadir kerana bersedih atas kejadian menimpa ayahnya.